KPDNKK Pinda Akta Jualan Langsung Untuk Lindungi Pengguna

Diterbitkan: Ahad, 4 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminda Akta Jualan Langsung 1993 bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa peniaga yang cuba mengaut untung besar hasil daripada jualan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata melalui akta baru itu ia lebih adil dan dapat mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi sewenang-wenangnya oleh para peniaga yang mengaut untung besar secara menipu dan memperalatkan para pengguna.

Katanya draf akta tersebut telah diluluskan Jabatan Peguam Negara dan ia akan dibentangkan di mesyuarat kabinet minggu depan terlebih dahulu sebelum dibentang pada sesi persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

"Di bawah akta baru itu, peniaga yang menipu mengadakan jualan langsung termasuk perniagaan gores dan menang bakal menerima hukuman denda yang lebih berat.

"Bagi peniaga perseorangan pula, denda RM1 juta akan dikenakan ke atas mereka dan syarikat pula bakal berdepan denda sebanyak RM5 juta, berbanding akta sekarang iaitu denda RM250,000 ke atas peniaga perseorangan dan RM500,000 ke atas syarikat," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra dengan 200 ahli jawatankuasa Gabungan Persatuan Wanita Felda Parlimen Bera di bangunan Umno Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata walaupun kerajaan mengeluarkan lesen jualan langsung namun bukan membenarkan ia disalahgunakan sebagaimana perniagaan jenis gores dan menang kerana jelas ia adalah sebuah perniagaan haram dan kerajaan tidak mengeluarkan lesen perniagaan tersebut kepada mana-mana peniaga setakat ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bera turut menasihati pengguna yang didatangi peniaga atau agen perniagaan gores dan menang supaya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dengan menghubungi talian hotline 1-300-888-25.

"Kementerian saya dengan kerjasama polis dan Kementerian Kewangan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes jualan langsung serta gores dan menang ini, namun orang ramai dan pengguna diminta memberikan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan dapat diambil ke atas mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan