Calon Hulu Selangor: Samy Vellu Serah Kepada PM

Diterbitkan: Sabtu, 3 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Samy berkata dalam setiap pilihan raya kecil sememangnya terdapat isu pertindihan di mana akan ada beberapa pilihan untuk menjadi calon.

"Jadi saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan...MIC telahpun membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil yang dijadualkan berlangsung pada 25 April ini. Banyak kerja telah dijalankan," katanya kepada pemberita selepas satu seminar anjuran MIC Perak di sini.

Beliau berkata maklumat yang dikumpulkan setakat ini jelas menunjukkan sokongan pengundi kepada BN dan calon BN kini mempunyai harapan cerah untuk merampas kembali kerusi itu.

"Pengundi juga telah memberikan isyarat yang bagus setakat ini, selepas jentera kita memasuki kampung-kampung termasuk kawasan Felda...arus pengundi telah kembali kepada BN," katanya.

Masyarakat India di kawasan Parlimen berkenaan juga kini memberi sokongan padu kepada BN, kata beliau.

Sebelum ini, Samy Vellu telah mencadangkan supaya Timbalannya Datuk G.Palanivel mewakili BN untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi itu.

Palanivel adalah Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Isu calon BN bagi pilihan raya kecil itu timbul ekoran permintaan Umno agar wakilnya dipilih bertanding dan antara nama yang disebut ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman telah meminta supaya kerusi itu dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC dan permintaan itu adalah suara dari akar umbi.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Allahyarham memenangi kerusi itu setelah mengalahkan Palanivel dengan majoriti 198 undi pada pilihan raya umum 2008. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan