Pegawai Khas Ronnie Liu Lepas Dari Tuduhan - Berita Semasa | mStar

Pegawai Khas Ronnie Liu Lepas Dari Tuduhan

Diterbitkan: Jumaat, 2 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Wong Chuan How, pegawai khas kepada exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan mengemukakan borang peruntukan dan invois palsu, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wong, 51.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Wong dibicarakan atas tuduhan mengemukakan kepada pembantu tadbir kewangan Pejabat Daerah Sepang, K.Mohana Sunthari, borang peruntukan kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek dan invois yang mempunyai butiran palsu bagi pembekalan 2,500 unit bendera kereta bernilai RM2,500 sedangkan bekalan itu tidak dibuat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian Pembangunan Masyarakat, Pejabat Daerah Sepang, 10 Sept 2008.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Wong yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid bagaimanapun menghadapi dua lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM5,000 dan RM2,500 yang masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen berasingan di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir, Wong melahirkan kegembiraan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskannya dan turut berterima kasih kepada peguamnya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Josiendra Abu Senin berkata pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Wong pada hari ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan