Palanivel Serah Nasib Kepada Perdana Menteri

Diterbitkan: Jumaat, 2 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menyerahkan 'nasibnya' sama ada akan dipilih ataupun tidak sebagai calon pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagaimanapun bekas wakil rakyat selama dua penggal bagi kawasan berkenaan berkata, beliau adalah calon tunggal yang dicadangkan MIC kepada pucuk pimpinan BN.

"Presiden parti dah calonkan nama saya sebagai calon... hanya nama saya.

"Mengikut prinsip amalan BN, presiden parti buat keputusan untuk calon sesiapa, kemudian Pengerusi BN akan buat keputusannya," katanya ketika ditemui di perkarangan masjid As-Sajirin, Kampung Sentosa, Batang Kali di sini hari ini.

Majlis bersama rakyat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Parlimen Hulu Selangor kosong selepas kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, Khamis lalu.

Palanivel kalah kepada Zainal Abidin dalam pilihan raya umum lepas dengan hanya majoriti tipis iaitu 198 undi.

Zainal Abidin mendapat 23,177 manakala Palanivel hanya 22,979 undi.

Ditanya sama ada beliau akan memberi kerjasama kepada BN sekiranya tidak dipilih sebagai calon, beliau berkata: "Di bawah konsep BN biasanya pengerusi akan buat keputusan mengikut cadangan presiden parti."

Selain itu katanya, rekod bersihnya selama ini boleh diambil kira dalam membuat pertimbangan memilih calon bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Kecualilah saya dituduh ada kesalahan jenayah, amalkan rasuah ataupun terlibat dalam merebut tanah di kawasan ini, saya tak buat semua itu.

"Kalau saya buat barulah saya jadi satu masalah (kepada parti)," katanya.

Diminta mengulas mengenai permintaan Umno untuk bertanding semula di kerusi berkenaan, Palanivel berkata: "Ini sebenarnya kerusi MIC dan memang selalu ditandingi oleh wakil MIC.

“Memang akan ada permintaan ketika pilihan raya, tapi kita harus ingat ini ialah pilihan raya kecil... sepatutnya tidak ada gangguan kerana ini adalah kawasan pengundi campuran.”

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar berkata semua pihak harus bersatu dan menerima dengan terbuka siapa sahaja yang bakal dipilih sebagai calon BN nanti.

"Dalam kita 'berperang' ini, kita kena bersatu... kita mesti dengar kepada satu arahan.

"Apa juga yang diputuskan kita perlu akur kerana yang berjuang ialah parti BN secara keseluruhannya, bukan parti secara individu," katanya.

Selain itu Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sehingga kini jentera BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor dan 25 April sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum 2008, BN telah memenangi kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor iaitu Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno).

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus), India (19 peratus) selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan