Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir YDP Yadim Yang Baru

Diterbitkan: Khamis, 1 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) yang baru.

Jamil sebelum ini memangku jawatan itu apabila kontrak Datuk Nakhaie Ahmad tamat pada Oktober lepas.

"Pelantikan Datuk Aziz sebagai Yang Dipertua Yadim yang baru adalah bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa hari ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Aziz, yang merupakan seorang peguam syari'e, dilahirkan di Kampung Baru Kuala Lumpur pada September 1954 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Inggeris Kuala Lumpur sebelum menyertai kursus tahfiz Al-Quran di Nadwa Kolej Lucknow, India dari tahun 1966 hingga 1970.

Beliau meneruskan pengajian peringkat menengah di tiga sekolah agama di Pulau Pinang dari tahun 1971 hingga 1976, berlepas ke India bagi mendapatkan sarjana dalam bidang hadis di Univeristi Deoband dari tahun 1977 hingga 1979 dan menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1979 hingga 1983 dalam bidang syariah dan undang-undang.

Aziz juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Hakim Wilayah Persekutuan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dari Nov 1984 hingga Mac 1987, Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi (Julai 1991 hingga Julai 1995), Setiausaha sulit Kanan kepada Menteri Pendidikan Malaysia (Ogos 1995 hingga April 1998) dan ditauliahkan sebagai peguam syari'e bagi Negeri Sembilan dan Perak pada tahun 1998.

Seorang pakar motivasi dan anggota kumpulan pemikir dalam Pemuda Umno, Aziz turut mempunyai kemahiran bertutur, membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa Urdu, Hindi, Arab dan Inggeris. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan