AUKU Akan Dipinda - Najib

Diterbitkan: Khamis, 1 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan akan meminda Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi menambah jumlah Profesor Diraja di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu adalah bagi membolehkan lantikan jumlah Profesor Diraja yang boleh dilantik pada satu-satu masa yang kini hanya terhad kepada tiga orang.

"Satu pakej 'remuneration' yang sesuai dengan ketinggian status Profesor Diraja akan kita adakan, pakej ini tidak akan akan terikat dengan mana-mana tangga gaji sedia ada dalam perkhidmatan awam," katanya semasa berucap sempena Pelancaran Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan turut mewujudkan kategori Profesor Kanan yang akan diletakkan di bawah Gred Turus perkhidmatan awam.

Bagaimanapun menurutnya jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh satu jawatankuasa khas.

Pengumuman itu adalah perincian kepada langkah kerajaan mengkaji skim perkhidmatan awam bagi membolehkan profesor dinaikkan pangkat hingga tahap Turus berbanding Gred Khas A pada masa ini tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau telah mengarahkan agar beberapa peraturan perkhidmatan awam yang mempunyai implikasi terhadap keberkesanan peranan dan aktiviti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikaji semula.

Perkara itu menurutnya termasuk Surat Pekeliling Bilangan 3 Tahun 2008, Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurutnya kajian semula secara menyeluruh itu bagi membolehkan satu ekosistem terbaik wujud untuk pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan universiti serta program dan aktiviti pembangunan usahawan bagi mengurangkan pergantungan kewangan universiti kepada kerajaan.

Bagaimanapun Perdana Menteri menasihatkan dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekaligus mengangkasa pengajian tinggi.

"Ini kerana, mediokriti atau budaya kecincaian adalah barah kepada tradisi ilmu dan ia sudah pasti tidak selari dengan hasrat kita membina ekosistem intelektual yang segar dan meriah di universiti tempatan, menjadi pelopor inovasi, penjana nilai tinggi dan contoh kecemerlangan," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan sentiasa memberi perhatian dan keutamaan terhadap perkembangan pengajian tinggi.

Katanya lagi, peranan institusi pengajian tinggi dalam Model Ekonomi Baru (MEB) tidak terhad kepada pembinaan generasi yang terpelajar dengan menyediakan program akademik bermutu.

Malah jelasnya, peranan itu perlu diperluaskan lagi kepada penjanaan ekosistem intelektual subur untuk perkembangan kreativiti dan inovasi serta penjanaan nilai tinggi bagi melonjakkan ekonomi Malaysia bersaing menjadi negara maju menjelang 2020.

"Untuk tujuan tersebut, peranan ahli akademik dari pensyarah sehingga profesor menjadi semakin kritikal sekaligus strategik dan mereka tidak boleh lagi sekadar memberi kuliah dan melakukan penyelidikan semata-mata.

"Untuk membolehkan ekosistem intelektual universiti tempatan menyerlah dan menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negara, peranan ahli akademik terutama mereka yang berjawatan profesor, perlu dikembangkan menjadi pemangkin daya kreativiti dan mendorong inovasi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan