Ahli Parlimen Padang Serai Pula Diarah Keluar Dewan

Diterbitkan: Khamis, 1 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) diarahkan keluar dewan sehingga selesai persidangan hari ini kerana tidak menghormati arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee supaya duduk, seorang lagi ahli Parlimen pembangkang mengalami nasib yang sama.

N.Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) diarahkan oleh Kiandee untuk keluar dewan kerana mengganggu perjalanan mesyuarat apabila cuba membuat provokasi ketika Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kekecohan berlaku apabila Raja Nong Chik menafikan dakwaan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) bahawa kementerian membenarkan parti-parti politik khususnya Umno menggunakan kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan permohonan pembangkang sering ditolak untuk menggunakan kemudahan seperti dewan dan khemah.

"Permohonan dibuat atas nama-nama badan bukan kerajaan (NGO), perkara ini dibuat oleh Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat juga, kalau saya tidak cakap benar, boleh tanya Yang Berhormat Lembah Pantai, dia pernah buat program di Bangsar Sports Centre yang diuruskan oleh DBKL," katanya.

Jawapan Raja Nong Chik itu kemudian menyebabkan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) bangun dan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) bahawa menteri itu telah membuat kenyataan yang mengelirukan dewan dan perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Dia cakap mengelirukan dewan, ini bukan kali pertama tapi kali kedua, perkara ini tiada kena mengena dengan saya. Memang saya gunakan dewan tapi terpaksa gunakan nama NGO, itu hakikatnya tetapi menteri boleh guna atas nama menteri dan Umno, apakah dasar kementerian sebenarnya," katanya.

Situasi itu kemudian menyebabkan ramai anggota Parlimen pembangkang termasuk Gobalakrishnan bangun dan mencelah mendesak supaya Raja Nong Chik memberikan jawapan yang benar mengenai penggunaan kemudahan DBKL oleh parti politik.

Kiandee yang cuba menenangkan keadaan itu meminta Gobalakrishnan supaya duduk dan memberi amaran supaya tidak mengganggu perjalanan mesyuarat.

"Yang Berhormat Padang Serai, jangan menganggu mesyuarat, jangan sampai Yang Berhormat dilihat mengganggu perjalanan mesyuarat," katanya.

Bagaimanapun, Gobalakrishnan tidak mengendahkan arahan Kiandee dan terus berkata supaya menteri jawab memberikan penjelasan.

Keengganan Gobalakrishnan itu menyebabkan Kiandee mengarahkan Bentara untuk membawa anggota Parlimen pembangkang itu keluar dewan.

"Padang serai saya cuba bagi amaran kepada Yang Berhormat, saya minta Yang Berhormat keluar sehingga selesai sidang dewan hari ini," katanya.

Terdahulu, Raja Nong Chik berkata, di bawah Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, kerajaan mencadangkan untuk membina sebanyak 12 laluan bagi sistem LRT bermula sekarang hingga tahun 2020 bagi meningkatkan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

"Namun, pembinaan laluan rel memakan belanja yang besar. Matlamat utama kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dari 16 peratus sekarang kepada 25 peratus pada 2012.

"Ini akan diusahakan dengan menambah bilangan koc dan kapasiti penumpang KTM Komuter dan LRT, tempat meletak kereta Park N Ride serta menambah bilangan bas RapidKL dan laluan-laluan baru," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan