Malaysia Bukan 'Dumping Ground' Pelajar Asing Bermasalah

Diterbitkan: Rabu, 31 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Malaysia bukan tempat lambakan atau "dumping ground" bagi pelajar antarabangsa yang tidak berkelayakan atau bermasalah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata kerajaan tidak berkompromi dalam soal kualiti pelajar asing yang diterima belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara.

Beliau berkata oleh itu kerajaan menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta untuk mengambil pelajar-pelajar antarabangsa di bawah tajaan kerajaan atau sesebuah organisasi.

"Ini kerana pelajar-pelajar ini dijamin dari segi komitmen dan kualiti," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) di Parlimen di sini.

Ismail dalam soalannya meminta supaya Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar asing di semua peringkat pengajian yang sedang menuntut dalam negara termasuk di Sekolah Antarabangsa.

Beliau juga mahu tahu jumlah kes pelanggaran undang-undang negara yang membabitkan pelajar asing sepanjang tempoh lima tahun lepas.

Menurut Hou sehingga 31 Disember lepas, Malaysia menerima hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara dan daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58,300 di institusi pengajian tinggi swasta.

"Ini bermakna, Kementerian Pengajian Tinggi berjaya mendahului sasaran 80,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2010. Data yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pengambilan pelajar antarabangsa di 51 buah Sekolah Antarabangsa di seluruh negara ialah hampir 16,600 orang," katanya.

Beliau berkata secara umum jumlah kes jenayah yang membabitkan pelajar antarabangsa adalah kecil.

Menurutnya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia 2009, jumlah kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar antarabangsa ialah 17 kes, iaitu enam kes ugutan jenayah, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul, satu kes rogol dan satu kes mendatangkan cedera.

Kepada soalan lain Hou berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah berhubung pelajar asing seperti memperkemas kriteria-kriteria pengambilan melalui garis panduan permohonan persekutuan pelajar antarabangsa ke IPTS dalam negara.

"Selain itu sehingga 30 November lepas pihak Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen pengambilan pelajar antarabangsa yang dimiliki oleh 29 IPTS ekoran pelbagai kesalahan seperti mengambil pelajar antarabangsa untuk kursus yang belum memperolehi akreditasi profesional, tidak lagi beroperasi di premis yang didaftarkan dan tiada unit hal ehwal pelajar antarabangsa," katanya.

Beliau berkata IPTS juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan kementerian mengenai pelajar yang tidak hadir ke kuliah bagi tiga hari berturut-turut atau kehadiran kurang daripada 80 peratus, CGPA kurang daripada 2 atau gagal peperiksaan serta tamat pengajian dan pulang ke negara asal.

Katanya kementerian juga dalam proses untuk mengguna pakai sistem "non objection certificate" atau NOC terhadap pelajar antarabangsa iaitu sijil sokongan daripada kedutaan negara asal mengenai kerakyatan mereka.

"Kementerian juga akan meletakkan syarat baru iaitu pelajar persendirian akan diwajibkan membayar deposit sebagai jaminan bahawa pelajar berkenaan mampu untuk belajar di Malaysia," katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Hou berkata semua pelajar antarabangsa perlu menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia.

Katanya kementerian juga memastikan semua IPTS mengambil mereka dalam nisbah 20:80 bagi menjamin suasana yang betul-betul "Malaysian" untuk memudahkan pelajar asing berkenaan menyesuaikan diri dengan pantas. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan