RM30 Juta Setahun Tingkat Pelajaran Anak Orang Asli

Diterbitkan: Selasa, 30 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) memperuntuk RM30 juta setahun bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kecemerlangan pelajaran anak Orang Asli di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JHEOA, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata, antara program yang dilaksanakan termasuk kelas tuisyen, kem motivasi dan lawatan bagi membuka minda mereka menerima pembaharuan dan kemajuan.

Beliau yakin program yang diatur dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Daerah mampu mencapai sasaran 120 pelajar Orang Asli memasuki institusi pengajian tinggi setahun.

"Kejayaan program yang dilaksanakan terbukti apabila tahun lalu sahaja 130 pelajar anak Orang Asli lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia berjaya memasuki institusi pengajian tinggi," katanya.

Nisra Nisran berkata, JHEOA juga mensasarkan sekurang-kurangnya lima pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara setiap tahun.

"Kita sudah membuktikan apabila bertambah ramai anak Orang Asli yang berjaya menamatkan pengajian di luar negara dan memegang jawatan tinggi dalam jabatan kerajaan dan swasta," katanya.

Di Kelantan sahaja, RM150,000 diperuntukkan bagi mengadakan program peningkatan kecemerlangan di kalangan anak orang Asli tahun ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan