PM: BN Letak Calon Pilihan Rakyat

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengutamakan calon yang menjadi pilihan rakyat untuk mewakili parti itu bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau akan mengkaji kehendak rakyat sebelum membuat sebarang keputusan memilih calon yang paling sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

"Faktor utama memanglah rakyat, saya kena buat kajian dahulu, kena rasa denyut nadi rakyat dan buat tinjauan... baca (situasi) semasa," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, calon yang bakal dipilih itu nanti sudah pasti dapat memberikan kemenangan untuk BN.

"Nantilah dahulu, bagi saya masa, saya kena buat keputusan yang tepat dan saya kena kaji segala aspek.

"Yang penting ialah kemenangan untuk BN, ini yang saya nak utamakan," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia Khamis lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham yang menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel, mendapat 22,979 undi.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tindakan 36 anggota jawatankuasa Umno (AJK) bahagian Bukit Bendera melepakan jawatan masing-masing hari ini, Najib berkata: "Walau apa pun ia mesti berdasarkan kepada perlembagaan parti, saya akan minta jawatankuasa pengurusan Umno meneliti perkembangan yang mutakhir ini."

Mereka bertindak melepaskan jawatan berkenaan bagi membolehkan satu mesyuarat perwakilan khas bahagian itu diadakan semula.

Bekas ketua Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Ismail pernah dipecat daripada parti kerana mengkritik bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon secara terbuka.

Menurut Ketua Bahagian, Abdul Jalil Ariffin dalam sidang medianya, surat peletakan jawatan mereka akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri yang dijangka bermesyuarat pada minggu ketiga bulan depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan