Najib Akan Jumpa CSL Untuk Bincang Kedudukan Wakil MCA Dalam Kabinet

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menemui Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi membincangkan mengenai kedudukan wakil parti itu dalam Kabinet dalam masa yang terdekat.

Perdana Menteri berkata, beliau perlu membuat penelitian dan mengkaji mesej yang cuba disampaikan oleh perwakilan MCA dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.

"Saya belum membuat apa-apa keputusan lagi, saya perlu buat analisa akan apa mesej perwakilan MCA, saya juga perlu berjumpa dengan presiden baru MCA untuk mengetahui apakah pandangannya.

"Sekiranya ada apa-apa cadangan yang khusus dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan, selepas itu baru saya akan buat keputusan yang saya fikir tepat," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas mengenai spekulasi banyak pihak yang menjangkakan beliau akan melakukan rombakan Kabinet berdasarkan keputusan pemilihan MCA semalam.

Pemilihan MCA semalam menyaksikan Dr Chua yang juga bekas timbalan presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan menewaskan penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan serta bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ia juga menyaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha tewas kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi jawatan Timbalan Presiden.

Kekalahan dua anggota Kabinet itu menimbulkan spekulasi kemungkinan berlaku rombakan Kabinet selepas krisis dalaman berpanjangan parti terbesar mewakili kaum Cina di negara ini selesai pada dasarnya melalui pemilihan baru pucuk pimpinan semalam.

Bagaimanapun Najib berkata, perkara penting yang menjadi keutamaannya ialah mahu melihat keberkesanan dan peranan pemimpin baru MCA dalam mebantu kerajaan.

"Apa yang penting ialah keberkesanan peranan dan juga suara wakil-wakil MCA dengan kerajaan tidak kira sama ada dalam kabinet atau tidak, yang penting sekali ialah keberkesanannya, peranan dan suara mereka," katanya.

Ditanya sama ada beliau telah menetapkan tarikh khusus untuk mengadakan perbincangan bersama Dr Chua, beliau berkata, belum.

"(Tapi)Secepat mungkin, saya tak tentukan masa yang khusus kerana saya ada jadual untuk keluar negara... tapi ia akan (di)segera," kata Najib.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dalam pemilihan berkenaan, Perdana Menteri berharap ia menjadi titik pemulihan sebenar parti berkenaan.

"Saya berharap begitulah (berakhirnya krisis) sebab kalau semua orang akur pada janji mereka, maka ia merupakan titik pemulihan sebenar MCA.

"Bagaimanapun kita perlu beri masa sedikit kerana mereka terpaksa menghilangkan perasaan berdasarkan kepada kumpulan masing-masing... tapi selepas pemilihan ini sepatutnya tak ada kumpulan lagi.

"MCA mesti menjadi parti yang satu, hanya MCA sahaja... tak ada mana-mana puak," katanya.

Selain itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu semua ahli MCA menghormati keputusan yang telah dibuat kerana ia telah dilakukan berdasarkan perlembagaan parti.

"Seperti mana yang saya lihat, semua calon yang bertanding terutama yang bertanding sebagai presiden telah memberi pengakuan bahawa mereka akan merapatkan barisan dan mengambil kira kepentingan semua kumpulan dalam MCA supaya parti itu dapat bersatu dan muncul sebagai sebuah parti yang lebih kukuh dan kuat lagi," katanya.

Jelas beliau semua pihak perlu menumpukan perhatian kepada usaha untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh para perwakilan.

"Masanya telah tiba untuk kita tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya kita mesti terus mara ke hadapan menjalankan tanggungjawab dan kewajipan yang telah diberikan oleh perwakilan MCA supaya keyakinan kepada MCA dapat dikembalikan melalui peranan yang bakal dimainkan oleh semua pemimpin MCA sendiri.

"Saya berharap proses pemilihan ni benar-benar merupakan tanda pemulihan MCA dan akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada MCA," tegas beliau lagi.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan