Kerajaan Tiada Hasrat Jual Ekuiti Proton Kepada Syarikat Asing

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menjual ekuitinya dalam Proton Holdings Berhad kerana tidak mahu melihat syarikat pengeluar kereta nasional itu dikuasai syarikat asing, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung berkata buat masa ini, Proton sedang mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan menjalin usaha sama dengan beberapa pengeluar peralatan tulen (OEM) dari segi produk dan pemasangan.

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan tersebut tidak melibatkan penyertaan ekuiti dan pakatan strategik yang akan dijalinkan itu adalah bagi membolehkan Proton lebih inventif di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Perlu ditekankan di sini bahawa sebarang perbincangan yang melibatkan penyertaan ekuiti pihak asing pada masa depan harus tertumpu pada matlamat saling menang atau win-win situation dengan mengambil kira kepentingan ekosistem automotif di Malaysia serta pengekalan jenama Proton itu sendiri," katanya ketika menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) di Parlimen.

Mohamed Azmin mahu Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat menjual ekuitinya dalam Proton dan syarikat-syarikat yang menunjukkan minat selain langkah yang diambil kerajaan untuk meningkatkan daya saing automotif negara dalam Asean untuk bersaing dengan Thailand.

Dalam soalan tambahannya beliau juga ingin tahu adakah kerajaan akan berterusan menyuntik dana kepada Proton atas nama "protectionisme (melindungi) atau nasionalisme" sedangkan industri automotif negara tidak mendatangkan hasil kepada pendapatan dalam negara ini.

Chor berkata setakat ini, Malaysia mempunyai dasar automotif yang agak berbeza dengan Thailand dan kerajaan masih dalam perancangan untuk melihat dan memastikan syarikat Proton mencapai kejayaan.

"Memang kita tidak nafikan bahawa syarikat-syarikat asing yang bertapak di Thailand telahpun mengeluarkan berbagai jenis kereta yang mampu dipasarkan di seluruh dunia.

"Tetapi Yang Berhormat harus mengambil kira apakah matlamat asal Proton ditubuhkan dan pada perkiraan kita di Kementerian Kewangan, setakat ini, kita dapat melihat pencapaian Proton telahpun banyak meningkat," katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 153,000 unit kereta Proton pelbagai kapasiti telah dapat dijual kepada pelanggan dalam negara dan 25,000 unit menembusi pasaran di luar negara.

Katanya lagi, dari segi sosio-ekonomi, Proton sudah mencapai matlamatnya apabila rakyat dari golongan berpendapatan rendah mampu memiliki kereta sendiri.

Selain itu, Chor berkata Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga menggariskan usaha kerajaan bagi memastikan industri automotif negara terus mampu serta meningkatkan daya saing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Antara langkah yang diambil ialah mewujudkan Dana Pembangunan Automotif bagi membantu pengilang, pemasang dan pembuat komponen tempatan meningkatkan keupayaan pengeluaran melalui skim pinjaman mudah bagi tujuan rasionalisasi perniagaan, pembelian dan pembangunan perkakasan peningkatan produktiviti dan pertambahan eksport.

Katanya lagi, kerajaan juga sentiasa membuat penilaian terhadap dasar semasa dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas semua pihak yang terbabit dalam industri automotif. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Kolumnis

iklan

Iklan