Hulu Selangor: Umno Bahagian Tidak Pernah Serah Nama Calon

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Umno Bahagian Hulu Selangor tidak pernah menghantar nama calon yang akan mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kenyataan tersebut disahkan oleh Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Idris Abu Bakar.

"Sebagai Ketua Umno Bahagian saya boleh mengesahkan bahawa setakat ini Umno bahagian tidak pernah menyerahkan sebarang nama pada Umno pusat.

"Tapi jika diminta berbuat demikian kita akan akur," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus yang mengatakan Umno akan meletakkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai calon mereka memandangkan majoriti penduduk di kawasan itu Melayu.

"Kalau ikut tradisi memang itu kerusi MIC namun kalau ikut suara ahli akar umbi dan ahli parti, ramai yang mahu calon kali ini datang daripada Umno.

"Namun apa jua pandangan mereka, kita perlu serahkan keputusan untuk menentukan siapa yang akan menjadi calon ini kepada pucuk pimpinan parti. Kami, akan akur apa jua keputusan pucuk pimpinan," katanya.

Mohd Idris yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor berkata, siapa jua calon parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan diletakkan di kawasan Hulu Selangor pasti akan memberi kejayaan kepada BN kerana rakyat sudah muak dengan sandiwara pihak pembangkang.

"Tidak kira sama ada calon daripada MIC, MCA mahupun Umno semuanya punya peluang untuk menang dan merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Kalau ikut sejarah asalnya, kerusi ini milik Umno pada tahun 1959 namun atas konsep perkongsian kuasa dalam BN kita serahkan kepada MCA pada tahun 1963 hingga 1980 sebelum ia diserahkan kepada MIC daripada 1980 hingga tahun 2004," katanya.

Jelasnya, atas prinsip kerusi berkenaan asalnya milik Umno ia menyebabkan ahli Umno diperingkat bahagian mahu kerusi berkenaan diberikan kepada mereka pada pilihan raya kecil kali ini.

"Namun kita akur dan akan bekerjasama dengan siapa jua calon yang akan diletakkan di Hulu Selangor. Yang penting calon itu mampu memberi kemenangan dan mengembalikan maruah BN," katanya.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya kawasan pula, Mohd Idirs berkata, semuanya sudah siap sedia dan setiap parti komponen telah menghantar nama-nama Ahli Jawatankuasa yang akan turut serta dalam jentera berkenaan.

"Kita jangka dalam tempoh empat atau lima hari lagi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan jentera pilihan raya bagi Parlimen Hulu Selangor.

"Buat masa ini kita sibuk mengatur program-program parti sementara menantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan pengundian," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, Jumaat lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Dr Zainal memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi menewaskan calon MIC, Datuk G. Palanivel.

Sebelum ini Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu Palanivel yang juga Timbalan Presidennya diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil itu nanti.

SPR akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil kawasan tersebut.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan