Trofi F1 2010 Dipertonton Kepada Umum

Diterbitkan: Ahad, 28 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(Dari kiri) Yong Yoon Li, Datuk Mokhzani Mahathir, Khaleed Abdul Aziz dari Petronas Motorsports dan Razlan Razali menunjukkan trofi Malaysian F1 GP di Pavilion Kuala Lumpur. Foto M. Azhar Arif/The Star.
(Dari kiri) Yong Yoon Li, Datuk Mokhzani Mahathir, Khaleed Abdul Aziz dari Petronas Motorsports dan Razlan Razali menunjukkan trofi Malaysian F1 GP di Pavilion Kuala Lumpur. Foto M. Azhar Arif/The Star.

KUALA LUMPUR: Menjelang kejuaraan permotoran antarabangsa terbesar negara kurang seminggu lagi, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat pertama kalinya mempertontonkan trofi Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia 2010 kepada umum di sini hari ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengeluar produk piuter terkemuka negara, Royal Selangor dipilih sebagai tenaga kreatif di sebalik penghasilan dan reka bentuk trofi terbaru berkenaan dengan diilhamkan daripada bendera pelepasan dan keunikan bentuknya yang abstrak memberikan dimensi pacuan dan pergerakan pantas.

Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, konsep tahun ini menjurus kepada keghairahan kejuaraan F1 Grand Prix terutama unsur-unsur visual, bunyi dan keseronokan perlumbaan yang dicerminkan oleh ukiran tiga dimensi tersebut.

Keunikan bentuknya seolah-olah letusan tenaga sementara permukaan bersegi-seginya menangkap penataan cahaya untuk memberikan ekspresi kelajuan adrenalin pada tahap kelajuan tertinggi.

"Harapan dalam perlumbaan ini cukup tinggi dengan ramai juara bersaing pada litar yang sangat mencabar dari segi teknikal.

"Reka bentuk trofi dengan kejuruteraan ukiran abstrak dengan kemasan berkilau mewujudkan pergerakan dan tenaga sekali gus menonjolkan semangat perlumbaan F1," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran trofi F1 Petronas Grand Prix Malaysia di Pavilion Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir.

Pada majlis itu, seramai 12 murid sekolah rendah terpilih bagi sesi temu bual bersama pemandu F1, mencabut undian bagi memastikan pasukan atau pelumba F1 yang bakal menjadi 'tetamu khas' kepada mereka pada Ahad depan.

Mereka terdiri daripada murid dan pelajar berusia antara tujuh hingga 14 tahun, berpeluang menemubual juara F1 dunia seperti Michael Schumacher, Fernando Alonso, Jenson Button dan Lewis Hamilton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Ahmad Razlan Razali, pemandu-pemandu akan diperkenalkan kepada murid-murid oleh pengacara majlis dan setiap murid berpeluang bertanya pasukan masing-masing satu soalan bagi membuka interaksi antara personaliti terkemuka F1 dengan para pelajar tempatan.

"Berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana kita adakan perarakan pemandu, tahun ini kami menganjurkan sesi temu bual istimewa ini yang akan diadakan sebelum persembahan pemandu di garisan permulaan.

"Menariknya, sesi temu bual ini akan disiarkan dan bukan sahaja para penonton di litar dapat menontonnya, malah penonton televisyen dari seluruh dunia," kata beliau.

Tambah Ahmad Razlan, selain perlumbaan F1 pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sesi autograf bersama pemandu F1, Children's Pit Walk iaitu kanak-kanak berpeluang berjumpa pemandu secara percuma dan konsert Grand Prix Malaysia 2010 yang menampilkan Wyclef Jean dan Fatboy Slim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan