Masalah SPDP Lebih Baik Diselesaikan Secara Dalaman - Mawan

Diterbitkan: Ahad, 28 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan Ikom mahu masalah parti itu diselesaikan secara dalaman di kalangan ahli-ahlinya daripada dihebahkan kepada umum.

Katanya beliau memilih untuk tidak menjawab isu yang dibangkitkan segelintir ahli parti melalui media kerana beliau berpendapat dengan berbuat demikian ia seolah-olah mendedahkan keburukan parti kepada khalayak ramai.

"Saya tidak perlu berdebat mengenai perkara itu untuk orang yang mungkin tidak tahu isu dalaman itu secara menyeluruh," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri jamuan makan malam amal anjuran bersama Bahagian Telang Usan dan Bahagian Senadin SPDP di sini semalam.

Namun, katanya suara-suara yang mempertikaikan keputusan kepimpinan juga menunjukkan bahawa demokrasi masih diamalkan di dalam parti.

Pergeseran dalam SPDP, satu daripada empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak, berbangkit selepas perhimpunan agung tiga tahun sekali parti itu awal tahun ini apabila Mawan melantik Nelson Balang Rining, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Ba Kelalan, menggantikan Sylvester Entri Munan sebagai Setiausaha Agung baru.

Keputusan Mawan itu tidak diterima Entri, Adun Marudi yang juga pembantu menteri Kabinet Sarawak.

Turut tidak berpuas hati berhubung pelantikan itu ialah empat yang lain -- Naib Presiden kanan Datuk Peter Nansian, Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang (Adun kawasan Batu Danau), Rosey Yunus (Adun kawasan Bekenu) dan Dr Tiki Lafe (Anggota Parlimen Mas Gading).

Mereka kemudiannya segera membuat keputusan untuk bergabung dengan Parti Rakyat Sarawak, satu lagi parti komponen BN Sarawak, tanpa mendapat persetujuan daripada pemimpin tertinggi SPDP. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan