Detik Penentuan MCA Semakin Hampir

Diterbitkan: Sabtu, 27 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Debaran dan penentuan berhubung barisan kepimpinan baru MCA akan terjawab esok apabila pemilihan semula parti itu diadakan di Wisma MCA sini.

Pemilihan yang bakal dibuat oleh 2,378 anggota perwakilan pada pemilihan semula itu akan menentukan calon manakah yang akan memimpin parti itu untuk tempoh lebih kurang setahun setengah sahaja lagi.

Bagi anggota perwakilan, ini kali ketiga mereka membuat pemilihan sejak pemilihan MCA pada 18 Oktober 2008.

Pada pemilihan kali kedua 10 Oktober tahun lepas, mereka membuat keputusan mengejutkan melalui tiga resolusi, yang merintis jalan kepada pemilihan semula esok.

Pemilihan kali ini juga melibatkan 101 calon - yang terbesar dalam sejarah parti itu.

Kecuali bagi jawatan timbalan presiden yang kelihatan seperti hampir tiada kempen, para calon bagi jawatan lain nampaknya terpaksa berhempas pulas bagi menonjolkan diri.

Pemilihan bagi jawatan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang jawatan Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas timbalan beliau Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Datuk Seri Kong Cho Ha dan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula bertanding bagi jawatan kedua tertinggi, manakala 10 calon lagi berentap merebut empat kerusi naib presiden.

Sebanyak 86 calon pula mencuba nasib untuk merebut jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Pusat (CC).

Dengan tinggal sehari saja lagi sebelum pemilihan semula itu diadakan, para calon kini berusaha habis-habisan melalui jentera kempen masing-masing.

Serangan peribadi juga turut dilancarkan, termasuk secara halus. Ini dapat dikesan apabila ada pihak menyeru anggota perwakilan agar tidak memilih calon tertentu yang dianggap tidak memiliki imej yang bersih atau yang disifatkan sebagai "pemimpin kitar semula".

Bagaimanapun, persoalannya ialah adakah anggota perwakilan akan terpengaruh oleh semua propaganda itu atau manifesto yang disebarkan oleh calon yang bertanding?

Yang pasti bentuk kempen paling popular ialah dengan mengadakan majlis jamuan. Pada setiap majlis jamuan itu, pemimpin yang bertanding akan hadir memberikan ucapan dan menyatakan sebab musabab mengapa mereka bertanding.

Dan dalam proses itu, anggota jentera kempen akan mengedarkan poster dan juga buku manifesto calon - dalam bahasa Inggeris dan juga Mandarin.

Seorang perwakilan yang sudah tiba di ibu kota berpendapat pertandingan yang melibatkan banyak calon jelas menunjukkan bahawa demokrasi tetap subur dalam MCA.

"Sesiapa saja yang berpendapat dia memiliki kemampuan, dia berhak dan berpeluang untuk berkhidmat untuk parti," katanya.

Bagaimanapun, bekas setiausaha agung MCA Tan Sri Ting Chew Peh membayangkan keadaan ini mungkin bukan sesuatu yang sihat apabila beliau berkata:

"Ramai sangat (yang bertanding bagi CC), hingga sesetengah mereka saya tidak kenalpun."

Sementara itu, persiapan bagi pemilihan semula itu hampir siap sepenuhnya, kata setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng.

Beliau memberitahu Bernama, keputusan pemilihan akan diketahui selewat-lewatnya pada jam 7 malam.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan