BN Selangor Akan Bincangkan Calon Parlimen Hulu Selangor

Diterbitkan: Jumaat, 26 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor akan bermesyuarat bagi menentukan calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak semalam.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata, perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat akan diadakan dalam tempoh yang akan ditetapkan nanti.

Bagaimanapun, buat masa ini pihaknya tidak mahu membincangkan lanjut mengenai perkara itu bagi menghormati pemergian Allahyarham khususnya anggota keluarganya, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

"Kita tidak mahu membincangkan mengenai siapa akan menjadi calon (mewakili Barisan Nasional) pada pilihan raya kecil parlimen itu nanti. Allahyarham baru sahaja meninggal dunia malam tadi, sepatutnya perkara sedemikian tidak perlu dibincangkan lagi buat masa ini. Sebarang keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan nanti," katanya.

Walaupun Allahyarham bersama PKR tetapi beliau banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negeri ini ketika bersama-sama dengan Umno, kata Noh.

Malah, beliau berkata Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 71 tahun itu merupakan Timbalan Menteri Besar, Exco kerajaan negeri termasuklah pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Hulu Langat sebelum menyertai PKR pada 2005 dan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Allahyarham Zainal Abidin menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi. Beliau memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu wartawan di Petaling Jaya hari ini bahawa calon pengganti Allahyarham akan dibincangkan di peringkat kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor berkata beliau percaya kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat mempunyai senarai calon-calon yang akan dikemukakan dan dibincangkan nanti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan