BN Banyak "Bahan" Untuk Berdepan Pakatan PKR-DAP-PAS

Diterbitkan: Jumaat, 26 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak "bahan" untuk berdepan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, yang kini kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata "bahan" itu akan digunakan bagi menyedarkan pengundi di kawasan berkenaan tentang siapa sebenarnya pakatan PKR-DAP-PAS.

"Waktu kempen, macam-macam boleh berlaku tetapi kita mempunyai banyak bahan sekarang yang boleh kita gunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya kepada pemberita selepas melawat Makmal Kualiti Guru Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum lepas, Dr Zainal Abidin yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham yang menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata dalam situasi sekarang, banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri Selangor yang ditadbir parti pakatan.

Beliau berpendapat jika pilihan raya umum 2008 dianggap tsunami politik, keadaan kini berbeza kerana rakyat sudah mulai sedar bagaimana pakatan PKR-DAP-PAS mentadbir Selangor.

"Sudah terdengar banyak suara yang tidak puas hati dan sentimen sebegini saya kira menyeluruh dan atas dasar itu, kemungkinan mereka sudah insaf dan tahu bahawa yang lebih mampu dan berupaya ialah BN.

"Atas pertimbangan itu, saya mengharapkan keadaan yang lebih baik daripada segi sentimen politik di situ kepada BN. Apa pun kita tidak boleh rasa selesa atau terlalu yakin kerana kita faham situasi politik boleh berubah," katanya.

Mengenai calon, Muhyiddin berkata calon yang dipilih itu ialah individu yang paling disukai, terbaik, boleh menjalankan amanah sebagai wakil rakyat BN serta dapat menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya.

"Kita akan bincangkan, pasti kita letak calon yang terbaik untuk menjadi wakil rakyat di situ. Setakat ini, calon yang akan mewakili BN pada pilihan raya kecil itu ialah daripada MIC.

"Apa pun keputusan muktamad nanti akan dibuat oleh Pengerusi parti (BN) dan beliau biasanya berbincang dengan Presiden komponen parti seperti MIC dan sebagainya dan kita akan umumkan pada masa yang sesuai," katanya.

Ditanya sama ada Umno akan bertanding semula kerusi parlimen itu, Muhyiddin berkata: "Walaupun ada pandangan sebegitu (supaya BN diwakili oleh Umno) tetapi biasanya pimpinan parti (yang membuat keputusan) dan bukan di peringkat saya yang akan menimbangkan situasi dan keadaan."

Muhyiddin berkata BN sudah bersedia dan telah membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu dan menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR akan mengadakan mesyuarat Jumaat depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Zainal Abidin. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan