Tengku Muhammad Faris Kekal Pemangku Raja Kelantan

Diterbitkan: Khamis, 25 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja Sultan kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

"Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Tengku Abdul Aziz telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

"Ini jelas bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai," katanya.

Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut disampaikan Tuanku Ismail Petra kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Menurut Wan Hashim, sehubungan itu juga baginda didakwa telah menitahkan jawatan itu diserahkan kepada Tengku Abdul Aziz, abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Wan Hashim berkata keadaan Sultan Kelantan kini:"Baginda boleh bertitah boleh bercakap dan ingatan baginda bagus."

Katanya Tengku Abdul Aziz berpendapat bahawa tidak perlu dipanggil anggota MPN untuk diadakan mesyuarat majlis itu bagi memutuskan keputusan pemecatan Tengku Muhammad Faris kerana Sultan Kelantan sudah boleh bertitah dan sihat serta tindakan itu tidak salah.

Mohd Aiseri berkata oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran kegeringan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

"Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan," katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Beliau berkata sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pihak menghormati undang-undang perlembagaan tanpa bertindak membelakangi undang-undang yang sedia ada. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan