Zulkifli Dedah Tawaran 'Menggoyahkan Iman' Untuk Fitnah Najib, Rosmah

Diterbitkan: Rabu, 24 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Bebas Zulkifli Noordin hari ini mendedahkan beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Zulkifli (Kulim-Bandar Baharu) semasa memberitahu Dewan Rakyat demikian bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang membuat tawaran itu tetapi menyifatkannya sebagai tawaran yang "boleh menggoyahkan iman" daripada pihak yang terbabit dengan "pakatan fitnah" tersebut.

Zulkifli yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini berkata beliau bersyukur kepada Allah kerana melindunginya daripada terbabit dengan pakatan fitnah tersebut.

Pada pertengahan tahun lalu, Zulkifli menarik diri sebagai peguam bela tertuduh dalam kes pembunuhan itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, kerana mendakwa terdapat campurtangan serius pihak ketiga dalam persediaannya membuat pembelaan.

"Sebab itulah saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes tersebut kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil untuk saya terus bertindak secara profesional sebagai peguam bela kes tersebut," katanya ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini. Zulkifli berkata beliau pernah diminta mendapatkan pengakuan bersumpah mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes pembunuhan itu.

"Sebagai seorang Islam, kita patut ambil sikap bersangka baik...setahu saya YAB Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini, tidak ada di antara kita yang berani bersumpah menafikan (apa-apa tuduhan terhadap pihak berkenaan).

"Oleh itu, bersangka baiklah kita sesama Islam dan berpeganglah kepada al-Quran sebagai petunjuk kita, bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain," katanya lagi.

Zulkifli juga berkata fitnah yang tidak berkesudahan juga dilemparkan terhadap Perdana Menteri tanpa sebarang bukti dan keterangan, serta sekadar bersandarkan surat akuan sumpah daripada bekas penyiasat persendirian P.Balasubramaniam.

Sedangkan, katanya, apa yang difitnah dan ditohmah dalam akuan sumpah tersebut tidak pernah dinyatakan oleh penyiasat persendirian itu semasa dia memberi keterangan di mahkamah.

Zulkifli turut menyifatkan Balasubramaniam sebagai seorang "opportunist yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan yang bertopengkan manusia."

Katanya, beliau juga tidak lupa pada sekitar tahun 2004, apabila diminta mengaibkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) dengan mengaitkan anak beliau (Nazri), Nadim dengan kes pembunuhan Darren Kang hanya kerana Nadim secara kebetulan berada di lokasi pembunuhan di Sri Hartamas.

Dalam kes itu, katanya, lima orang warga Thai pekerja restoran Uncle Don di Sri Hartamas telah didakwa dan dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, sekali lagi Allah telah menyelamatkan saya daripada terlibat dengan fitnah," katanya.

"Saya berharap tidak ada pihak yang meletakkan saya dalam keadaan terpaksa mendedahkan semua perkara mungkar yang berlaku...kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh YB Bayan Baru (rancangan pengambilalihan kuasa 16 September oleh pihak pembangkang) akan hanya menjadi sekadar 'kentut yang sepi'," kata beliau.

Minggu lepas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menjadi wakil Bebas selepas keluar daripada PKR membuat pendedahan yang mendakwa Anwar berbohong kononnya Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera merestui rancangan 16 September 2008 untuk Anwar mengambil alih kuasa pemerintahan negara.

Zulkifli berkata terlalu banyak perkara yang tidak betul yang beliau telah diminta melakukan.

"Begitulah kotornya mainan politik negara masa kini...ada antaranya yang telah saya laksanakan dan ada antaranya tidak saya laksanakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan kepada mereka yang telah menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini, dan saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi untuk perbetulkan keadaan," katanya.

Zulkifli berkata tujuan beliau membuat pendedahan itu kerana bersetuju dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang melahirkan kekhuatiran tentang gejala fitnah yang sampai ke peringkat yang membimbangkan semasa merasmikan mesyuarat Parlimen Isnin lepas.

"Saya sendiri khuatir dengan cara berpolitik bangsa Melayu beragama Islam yang jauh daripada perintah Allah dan sunnah Rasulullah. Saya juga takut jika kita mengambil sikap mendiamkan diri, laknat Allah akan menimpa kita," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan