SPR Tiada Kuasa Dalam Pilihan Raya PBT

Diterbitkan: Rabu, 24 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) tidak dapat dilaksanakan jika Pulau Pinang dan Selangor mahukan Suruhanjaya itu mengendalikan pilihan raya tersebut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz. Mohd Yusof berkata, pilihan raya tidak dapat dijalankan oleh SPR berdasarkan Akta dan undang-undang yang sedia ada ketika ini.

Abd Aziz berkata, pilihan raya itu tidak dapat dibuat kerana selaras dengan pemansuhan seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan keanggotaan sesuatu PBT perlu dibuat secara pelantikan.

Menurutnya, hak untuk membuat pilihan raya kerajaan tempatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang memerintah dan sebarang perubahan dasar dan cadangan hendaklah diputuskan oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

"Bukan bidang kuasa SPR untuk melakukan pilihan raya itu kerana peruntukan berhubung pilihan raya kerajaan tempatan dalam Akta 473 telah dimansuhkan dan kita tiada kuasa," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Pada 15 Mac lalu SPR telah meneriam surat daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta suruhanjaya itu menjalankan kajian dan penyelidikan bagi memastikan sama ada pilihan raya PBT boleh dilaksanakan atau tidak, kerana pihaknya berpendapat pilihan raya PBT perlu diwujudkan semula bagi memastikan rakyat boleh memilih wakil mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini meminta SPR supaya menimbang permohonannya untuk mengadakan pilihan raya PBT bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai.

Sementara itu, beliau memberitahu suatu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dahulu melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan bagi negeri di semenanjung yang bercadang untuk mengadakan semula pilihan raya PBT.

"Mereka boleh berbuat demikian tetapi bukan secara bersendirian dan perlu melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

"Ini kerana cadangan yang dikemukan dapat diselaraskan pada setiap negeri," katanya.

Abd. Aziz berkata sebarang cadangan tidak perlu di hantar ke SPR kerana bukan bidang kuasa Suruhanjaya itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan