Peminjam Gagal Lunas Pinjaman Tekun Nasional Akan Disenarai Hitam - Berita Semasa | mStar

Peminjam Gagal Lunas Pinjaman Tekun Nasional Akan Disenarai Hitam

Diterbitkan: Rabu, 24 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional akan disenarai hitamkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata organisasi berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara untuk menyenaraikan peminjam engkar di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

"Kaedah pembiayaan yang dikeluarkan Tekun Nasional adalah mudah iaitu tanpa penjamin dan cagaran, sebilangan usahawan gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Mohd Hayati ingin tahu jumlah hutang Tekun Nasional yang belum dijelaskan dan antara usaha yang dilakukan untuk mengambil balik hutang tersebut.

Noh berkata 198,739 pembiayaan yang bernilai RM1.47 bilion dikeluarkan kepada 159,587 usahawan bumiputera di seluruh negara sehingga 28 Februari lepas.

"Daripada jumlah itu 17 peratus iaitu 33,149 pinjaman dengan nilai tunggakan RM133.27 juta masih belum dijelaskan oleh peminjam," katanya.

Beliau berkata untuk meningkatkan kutipan bayaran balik, Tekun Nasional mengambil beberapa tindakan antaranya dengan mengeluarkan surat rayuan yang juga dikenali sebagai "Surat Menangis" kepada peminjam tegar yang mempunyai tunggakan tinggi.

"Sekiranya masih gagal, surat peringatan dari Jabatan Undang-undang Tekun Nasional akan dikeluarkan untuk tindakan undang-undang diambil," katanya.

Noh berkata sehingga kini, Tekun Nasional melantik enam syarikat guaman di seluruh negara dan surat-surat tuntutan sudah mula dikeluarkan kepada usahawan yang berkenaan.

"Ops Kutip juga dilancarkan di seluruh negara di samping menawarkan insentif bayaran balik seperti pengurangan caj perkhidmatan dan rebat penyelesaian awal. Selain itu, Tekun Nasional turut memperketatkan syarat-syarat pinjaman, bagi menawarkan pinjaman hanya kepada usahawan tulen sahaja," katanya.

Noh juga menafikan dakwaan Mohd Hayati dalam soalan tambahan bahawa kebanyakkan peminjam Tekun Nasional adalah terdiri daripada penyokong atau anggota Umno.

"Bolehkah sesiapa buktikan daripada 159,587 usahawan yang diberikan pinjaman itu, tidak ada seorang pun daripada anggota PAS?" tanya Noh. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan