2.3 Juta Permohonan Diluluskan, Bukti Kad Kredit Tidak Dikeluarkan Sewenang-wenangnya

Diterbitkan: Rabu, 24 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.3 juta permohonan atau 48 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima oleh institusi pengeluar kad kredit telah diluluskan tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar itu menunjukkan bahawa pengeluaran kad kredit tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

"Semasa melakukan pemeriksaan berkala ke atas pengeluar-pengeluar kad kredit, Bank Negara Malaysia (BNM) juga turut melakukan pemeriksaan ke atas proses penilaian dan pemberian pinjaman kad kredit di institusi berkenaan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah berhemat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan M.Manogaran (DAP-Telok Intan) mengenai mengapa kerajaan membenarkan bank-bank membuat promosi agresif penggunaan kad kredit sedangkan ia membebankan pengguna dan banyak kes dibawa ke mahkamah, pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam usaha mempromosikan penggunaan pembayaran secara elektronik, BNM menggalakkan penggunaan kad kredit sebagai kaedah pembayaran secara elektronik dan bukannya sebagai sumber kredit yang mudah.

"BNM sentiasa memantau perkembangan kad kredit di negara ini serta mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan penggunaan dan pengeluaran kad kredit adalah secara berhemah dan tidak menjurus kepada masalah keberhutangan yang berlebihan," katanya.

Beliau berkata penggunaan mesin ATM sebagai saluran pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) telah meningkat sebanyak 11.6 peratus daripada 20.6 juta urus niaga pada tahun 2007 kepada 23 juta urus niaga pada tahun lepas.

"Penggunaan mesin ATM pada masa kini bukan sahaja untuk pengeluaran wang tunai, tetapi telah diperluaskan untuk pembayaran bil, pemindahan dana antara bank, pembayaran untuk permohonan saham secara elektronik dan juga urus niaga tambah nilai MEPS Cash, Touch 'n' Go dan nilai prabayar mudah alih," katanya.

Najib berkata dalam usaha mempertingkatkan kaedah e-pembayaran, kerajaan menggalakkan penggunaan kad pembayaran seperti kad debit dan kad kredit berbanding dengan pembayaran secara tunai kerana ia menjimatkan kos berikutan pengurangan pengendalian wang tunai dan peningkatan kecekapan operasi serta produktiviti.

"Ia juga adalah sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam. Orang ramai boleh menggunakan kad debit dan kad kredit untuk bayaran kaunter di beberapa agensi kerajaan sebagai alternatif kepada wang tunai," katanya.

Beliau berkata kad kredit juga merupakan instrumen pembayaran elektronik yang lebih digemari bagi pembayaran dalam talian.

Menjawab soalan bertulis dari Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) mengenai jumlah hutang yang dikategorikan sebagai tertangguh dari pemegang kad kredit di seluruh negara, Najib berkata baki tertunggak dari pemegang kad kredit pada akhir tempoh Januari lepas berjumlah RM27.1 bilion.

"Daripada jumlah baki tertunggak tersebut, sebanyak RM24.7 bilion merupakan baki semasa manakala baki tak berbayar berjumlah RM500 juta," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan