Tidak Perlu Pinda Rukun Negara, Kata Pak Lah - Berita Semasa | mStar

Tidak Perlu Pinda Rukun Negara, Kata Pak Lah

Diterbitkan: Selasa, 23 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata tiada keperluan untuk meminda perkara pertama Rukun Negara kerana sebarang pindaan hanya akan menimbulkan satu lagi polemik.

Katanya kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

"Apabila Jawatankuasa Rukun Negara bincang perkara ini dulu, ia mahu dijadikan satu rukun yang akan dipegang oleh rakyat tanpa menentukan mereka mesti menganuti sesuatu agama yang tertentu," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, hari ini.

Jelasnya Rukun Negara telah lama menjadi pegangan dan dihayati seluruh rakyat Malaysia sebagai salah satu lambang perpaduan yang mesti diteruskan.

"Apa yang dikehendaki adalah supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang ada agama. Rakyat mempercayai tuhan. Itu yang telah ditekankan semasa perbincangan Rukun Negara," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Ikim berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam untuk meminda perkara pertama Rukun Negara memandangkan nama "Allah" telah digunakan secara meluas termasuk di kalangan bukan Islam.

Hadi meminta kerajaan mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada Tuhan kepada percaya kepada Allah.

Seminar selama dua hari itu bertujuan menghargai pemikiran dan sumbangan tokoh-tokoh pemimpin masyarakat terdahulu terutama dalam membawa kegemilangan Islam di Nusantara.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tersebut oleh para cendekiawan dari pelbagai latar belakang dan institusi. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan