Saingan Paling Sengit Cipta Sejarah Dalam MCA - Berita Semasa | mStar

Saingan Paling Sengit Cipta Sejarah Dalam MCA

Diterbitkan: Selasa, 23 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Belum pernah dalam sejarah 61 tahun, parti MCA menghadapi persaingan paling hangat dan sengit dalam pemilihan pucuk pemimpinnya pada 28 Mac ini.

Pemilihan kali ini mencipta sejarah apabila buat pertama kali tiga tokoh parti merebut jawatan presiden, bekas presiden kembali semula dan juga pemilihan baru diadakan sebelum penggal pemegang jawatan tamat tahun depan.

"Tidak pernah ada pertandingan tiga penjuru merebut jawatan presiden membabitkan penyandang dan dua orang kuat kuat. Seingat saya, ini adalah kali pertama," kata bekas ahli jawatankuasa pusat (CC) hari ini.

Apa yang lebih menarik, menurut ahli veteran itu, pemilihan diadakan dalam masa sebulan selepas ahli CC meletak jawatan secara serentak hanya kerana untuk melengkapkan tempoh penggal berbaki setahun lagi.

Semua calon mempunyai masa seminggu mulai hari ini untuk berkempen sebelum pemilihan Ahad ini.

Ramai ahli dan penganalisis politik telah meramalkan bahawa pertandingan merebut jawatan presiden, timbalan presiden, empat jawatan naib presiden dan 25 ahli CC adalah paling sengit kali ini.

"Ia sama seperti ungkapan dalam bahasa Kantonis....'siapa yang hidup atau mati, tiada yang tahu'," kata pengerusi Bahagian Ipoh Timur Datuk Thong Fah Chong.

Katanya sesiapa sahaja dipilih sebagai presiden Ahad ini akan dianggap sebagai presiden minoriti kerana sudah pasti tidak akan ada pemenang mutlak memandangkan pemenang hanya boleh meraih antara 800 hingga 900 undi sahaja.

"Apa yang saya lihat, pergolakan dalaman semasa akan terus wujud walaupun pemilihan diputuskan Ahad ini," katanya.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh pengerusi Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh, yang juga mengakui pemilihan kali ini paling sengit tetapi percaya perwakilan akan membuat pilihan bijak.

Pemilihan baru kali ini menyaksikan 2,400 perwakilan sama yang terlibat dalam pemilihan parti pada Oktober 2008 di mana mereka memilih presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Dr Chua Soi Lek.

"Ketika ada sebilangan perwakilan sudah muak, ada tanda positif kerana mereka masih mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi sesama mereka," kata Teoh.

Bagaimanapun, bukan semua yang teruja atau berminat untuk bertanding kerana ada pemimpin yang lebih suka untuk 'menunggu di luar' dan menanti pemilihan parti tahun depan.

Mereka berkata sesiapa sahaja menang kali ini akan hanya berkhidmat untuk tempoh yang singkat sebelum pemilihan parti tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan