Rakyat Malaysia Tahanan Penjara Laos Diberi Cuti 10 Hari

Diterbitkan: Isnin, 22 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Omar Atan menunjukkan paspotnya yang dibatalkan pada saat akhir dan ditahan ketika hendak menaiki pesawat pulang ke Malaysia dari Laos. - Foto THE STAR Oleh RAYMOND OOI
Omar Atan menunjukkan paspotnya yang dibatalkan pada saat akhir dan ditahan ketika hendak menaiki pesawat pulang ke Malaysia dari Laos. - Foto THE STAR Oleh RAYMOND OOI

ALOR SETAR: Rakyat Malaysia, Omar Atan yang ditahan di penjara Laos diberi kebenaran istimewa untuk pulang ke rumah dan mengunjungi pusara isterinya yang meninggal dunia di Padang Besar, Khamis lalu.

Omar Atan, 59, pengusaha kedai kopi, dibenar meninggalkan negara tersebut selama 10 hari atas dasar perikemanusiaan berikutan persetujuan antara Kedutaan Malaysia di Laos dan pihak berkuasa negara itu.

Dia tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, pagi tadi sebelum meneruskan perjalanan ke kampung asalnya di Padang Besar, Perlis.

"Saya mahu menziarahi pusara arwah isteri, Siti Zaleha Abdullah. Saya diberitahu dia jatuh sakit selepas saya ditahan atas dakwaan menyeludup pendatang asing di Laos, Mei lalu," katanya kepada pemberita sebaik tiba di LTSAH.

Hadir sama, Pengerusi Biro Kemasyarakatan Pemuda Umno, Datuk Muhd. Khairun Aseh yang merupakan penjamin bahawa Omar akan kembali ke Laos pada 30 Mac ini.

Ketiga-tiga anak perempuan Omar, Nuraleena, 21, Siti Suhaida, 17 dan Siti Nurakilah, 11, turut menyambut kepulangan bapa mereka itu dengan linangan air mata.

Omar berkata, dia tidak dibenarkan berjumpa sesiapa setelah ditahan di penjara Punthong di Vientiane.

"Saya sangat merindui keluarga. Dalam 10 hari ini, saya mahu menghubungi orang yang membawa saya ke Laos sebagai jurubahasa kepadanya untuk mengambil pekerja di negara tersebut.

"Saya ditahan pada 13 Mei lalu apabila dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.

Tambah Omar, lelaki berkenaan berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa Laos dan pulang ke rumahnya di Perak.

Jelasnya, ketika dalam tahanan dia dibenarkan memasak makanan sendiri kerana penjara berkenaan hanya memberi sup khinzir dan pulut nasi.

"Ketika bulan pertama ditahan, saya makan bersama tahanan Pakistan. Saya berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Laos yang menyediakan dapur dan periuk untuk membolehkan saya memasak makanan sendiri," ujarnya.

Kata Omar lagi, dia ditempatkan bersama-sama 70 tahanan asing dalam sel blok dengan hanya tiga tahanan Islam termasuk dirinya.

Sementara itu, Muhd. Khairun berkata, Pemuda Umno akan menemani Omar sepanjang pelepasan selama 10 hari itu dengan menambah, pergerakan tersebut turut berusaha mencari ikhtiar untuk membebaskan Omar dari tahanan.

"Kami akan bekerjasama dengan polis untuk mencari lelaki yang bertanggung jawab membawa Omar ke Laos," katanya.

Menurut Muhd. Khairun, ini adalah kali pertama tahanan penjara Laos dibenarkan pulang ke negara asal untuk menguruskan hal keluarga atas pelepasan khas oleh Perdana Menteri Laos.

Pada masa yang sama, laporan BERNAMA menyebut bahawa Omar merupakan mangsa ketidak adilan, menurut kata Muhd. Khairun.

Beliau berkata, ini disebabkan Omar masih belum didakwa di mahkamah atas sebarang kesalahan sejak ditahan tahun lalu.

"Omar sendiri tidak tahu kenapa dia ditangkap. Terdapat keraguan kerana paspotnya didapati telah dicop," jelasnya.

Omar yang fasih berbahasa Thai dikatakan pergi ke Laos untuk mengambil pekerja.

Selepas menetap di negara itu selama tiga hari, Omar ditahan di lapangan terbang ketika hendak pulang ke Malaysia.

"Pemuda UMNO akan berusaha mendapatkan peguam bela terbaik untuk Omar bagi membuktikan kepada kerajaan Laos bahawa dia tidak bersalah," kata Muhd. Khairun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan