Pemuda Umno Selangor, WP Buat Laporan Polis Terhadap Anwar

Diterbitkan: Ahad, 21 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika merancang untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

Menurut Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Ghazali laporan tersebut dibuat susulan pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

"Saya membuat laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada pukul 10 pagi tadi.

"Pemuda Umno Selangor mahu polis menyiasat kebenaran dakwaan Zahrain. Jika ada kebenaran pihak polis perlu segera mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Laporan polis oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dilakukan oleh Ketuanya, Rizalman Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengahari tadi.

Jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengesahkan menerima laporan polis tersebut.

Puteri Umno turut dijangka akan membuat laporan yang sama selepas ketuanya, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin mengarahkan Naibnya, Shahanim Mohd Yusof dan barisan Exco berbuat demikian.

Rabu lalu, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, menggemparkan Sidang Dewan Rakyat apabila mendedahkan Anwar 'menjaja' nama Tuanku Mizan Zainal Abidin kononnya Seri Paduka menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan jumlah ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Zahrain turut menamakan lapan ahli Parlimen BN yang akan melompat parti, antara nama yang disebut ialah:

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Tawau), Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepangar), Datuk Mohd Puad Zakarshi (BN - Batu Pahat), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) dan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN -Jerantut).

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata laporan polis itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan rakyat di negara ini.

"Adalah tidak wajar untuk menggunakan nama institusi diraja dan ATM terlibat dalam rancangan Anwar kerana dua-dua badan ini merupakan badan yang bebas dan mereka tidak campur tangan dalam urusan politik.

"Kita harap pihak polis siasat kenyataan Zahrain, jika benar mereka perlu segera bertindak supaya tidak ada pihak yang menggunakan nama Agong dan ATM untuk kepentingan peribadi masing-masing," katanya.

Jelasnya, pihak polis memberi jaminan akan menyiasat laporan tersebut secepat mungkin.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan Zahrain berhubung dakwaan Anwar bahawa usahanya mengambil alih kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ATM.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan