Media Dipelawa Jadi Rakan PM

Diterbitkan: Sabtu, 20 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa media tempatan untuk menjadi rakan beliau dalam melakukan transformasi terhadap Malaysia agar menjadi sebuah negara yang lebih makmur.

Perdana Menteri berkata kerajaan memerlukan media untuk berkomunikasi dengan rakyat dan mendidik mereka di seluruh negara.

"Saya mahu anda menjadi rakan saya dalam perjalanan saya untuk melakukan transformasi terhadap negara.

"Pihak media perlu membuat laporan mengenai kerajaan sebagai mana kerajaan memerlukan media untuk menyampaikan mesej mereka secara berkesan kepada rakyat," kata beliau pada Majlis Anugerah Kelab Wartawan Kebangsaan-Naza yang julung kali diadakan di sini malam tadi.

Dalam pada itu beliau mahu media bersikap lebih bertanggungjawab dengan setiap laporan yang diterbitkan bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku kelak.

"Saya mahu media supaya memahami dan menghargai suasana di negara ini dan untuk berkomunikasi dengan berkesan serta mendidik rakyat," katanya. Perdana Menteri menegaskan, pengamal media yang bebas melaporkan apa sahaja tanpa rasa tanggungjawab sebenarnya bukan memiliki kebebasan yang hakiki.

"Media di seluruh dunia boleh belajar daripada media Malaysia yang melaporkan atau menyentuh isu sensitif dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

"Apalah gunanya jika ada kebebasan jika ia akan mengeruhkan keadaan," katanya.

Najib berkata, tiada guna jika kebebasan media diamalkan sepenuhnya jika sensitiviti masyarakat diabaikan tanpa mengira perasaan orang lain.

"Kita harus bekerjasama dalam membangunkan negara kita sejajar dengan konsep 1Malaysia. Ini adalah penting untuk generasi akan datang," katanya.

Beliau turut menggesa media supaya tidak mengekalkan status quo dengan memulakan cara yang berlainan untuk membuat laporan mereka.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa media Malaysia dikawal ketat oleh kerajaan.

"Selagi laporan itu tidak bertentangan dgn undang-undang, media ada kebebasan untuk melaporkan apa saja.

"Ada laporan tentang kebaikan pihak pembangkang sama seperti mereka ada melaporkan berita negatif mengenai pihak kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata pengwujudan anugerah untuk kewartawanan Malaysia seperti yang dianugerahi malam ini, dapat membangkitkan semangat dalam lingkungan pengamal media dan meningkatkan kualiti kewartawanan dalam negara.

Bagaimanapun, beliau berkata ini tidak bermakna bahawa kualiti media di Malaysia adalah lemah.

"Saya sendiri percaya bahawa media di Malaysia merupakan sesuatu yang kita semua boleh banggakan," kata beliau.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Najib menyampaikan anugerah Lagenda Media Kelab Wartawan Kebangsaaan-AmBank kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Samad. Manakala Anugerah Sepanjang Zaman di beri kepada wartawan veteran The Star, Datuk V K Chin.

P.Gunasegaram dari The Star turut mengondol anugerah wartawan tahun ini KWK-SCOMI bersama-sama Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Mohd Zaini Hassan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan