Intelektual Tulen Perlu Mampu Ubah Pemikiran, Sikap Masyarakat

Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ukuran seorang intelektual tulen bukan hanya berdasarkan kejayaannya menerbitkan makalah dalam jurnal-jurnal antarabangsa, tetapi mampu membawa kepada perkembangan pemikiran masyarakat dan kemajuan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini dapat dilihat daripada sumbangan besar tokoh akademik Prof. Diraja Ungku Aziz apabila impak kajian ilmiahnya dapat dilihat dalam membentuk perubahan pemikiran dan sikap masyarakat serta kesannya terhadap dasar-dasar kerajaan mengenai pembasmian kemiskinan serta pemugaran ekonomi desa.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku bertajuk "Royal Professor Ungku A. Aziz: The Renaissance Man" terbitan Penerbit Universiti Malaya di sini hari ini.

"Saya fikir inilah falsafah sebenar manusia intelektual dan peranan universiti sebagai gedung ilmu. Apabila kita memperkatakan tentang kajian berimpak tinggi, ukuran kita semestinya bukan hanya kejayaan untuk menerbitkan makalah dalam jurnal-jurnal antarabangsa sekadar untuk meningkatkan rangking universiti, atau mencapai sasaran kuantitatif Penunjuk Pretasi Utama (KPI), atau mendapat peluang kenaikan pangkat.

"Tetapi tentang sejauhmana kajian yang dihasilkan dapat memberikan kesan secara signifikan kepada perkembangan pemikiran masyarakat dan peningkatan kemajuan negara," katanya.

"Dalam konteks ini, Pak Ungku bagi saya adalah lambang seorang intelektual tulen yang telah meletakkan penanda aras yang amat tinggi dalam dunia keintelektualan tanah air," katanya.

Muhyiddin berkata Ungku Aziz sebagai seorang nasionalis, bukan sahaja amat prihatin terhadap nasib yang menimpa bangsa dan negaranya, malah mengambil langkah yang pragmatik serta berpandangan jauh dalam memperbetulkan ketidak seimbangan sosial yang melibatkan masyarakat pribumi.

Beliau berkata keperhatianan bekas naib canselor Universiti Malaya itu terhadap nasib golongan miskin dan masyarakat desa terserlah dengan beberapa inisiatif beliau yang menjadi mercu tanda kejayaan program pembangunan sosio-ekonomi di negara ini seperti penubuhan koperasi dan Tabung Haji.

"Tersirat di sebalik kedua-dua inisiatif penting ini bukan sekadar aspirasi untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin, tetapi satu gerakan perubahan sikap dan minda massa mengenai pemilikan kekayaan dan keadilan dalam pengagihan ekonomi," katanya yang menyifatkan Ungku Aziz sebagai seorang intelektual yang terkenal dan negarawan yang istimewa.

Muhyiddin berkata perubahan yang dibawa oleh Ungku Aziz itu ialah perubahan sikap dan pemikiran suka berbelanja kepada suka menambung, dan daripada suka berhutang kepada suka melabur.

Muhyiddin berkata perubahan sikap dan minda rakyat ini menyediakan landasan penting kepada usaha pembasmian kemiskinan, peningkatan mobiliti sosial, kemunculan golongan kelas pertengahan bumiputera dan pemodenan negara.

Beliau berkata Ungku Aziz, semasa menjadi naib canselor Universiti Malaya (UM) telah melakukan "sesuatu yang bersifat revolusioner", di mana beliau yang prihatin dengan ketidak seimbangan populasi pelajar di fakulti sains, kejuruteraan dan perubatan yang amat kurang pelajar bumiputera telah mewujudkan program pra-kejuruteraan dan kelas bimbingan khas untuk membimbing pelajar ini, yang merupakan satu langkah intervensi yang berpandangan jauh.

"Hasilnya, daripada hanya beberapa kerat pelajar Melayu yang lulus dalam bidang kejuruteraan, jumlahnya telah meningkat kepada ratusan orang," katanya. Beliau berkata usaha ini telah dikembangkannya kepada penubuhan Pusat Asasi Sains dan Ambang Asuhan Jepun, khususnya untuk membimbing anak-anak bumiputera dalam bidang sains dan kejuruteraan.

"Sehingga kini, puluhan ribu graduan bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan kejuruteraan telah berjaya dilahirkan hasil sumbangan pemikiran dan kesungguhan Pak Ungku," katanya mengenai bekas pensyarahnya dalam pelajaran Rural Economy semasa Muhyiddin menuntut di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata sebagai seorang nasionalis, Ungku Aziz turut mengambil berat tentang usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan di bawah pimpinannya UM telah mempelopori usaha untuk mencipta istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

"Malah ketika berlaku perubahan dasar mengenai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti pada awal 1980an, Universiti Malaya di bawah kepimpinan Pak Ungku telah melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu tiga tahun lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata ini adalah "lambang rasa cinta Pak Ungku yang amat mendalam kepada bahasa Melayu dan keyakinan beliau yang amat tinggi terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu."

"Saya amat tersentuh apabila Pak Ungku menjadi antara insan terawal tampil menyokong dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dalam sistem pendidikan kebangsaan selepas saya membuat pengumuman mengenainya tahun lepas.

"Pak Ungku bukan sahaja guru saya, mentor saya, malah kini penyokong saya pula. Untuk itu saya secara peribadi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pak Ungku," katanya.

Buku "Professor Ungku A. Aziz: The Renaissance Man" yang berharga RM50, merupakan gabungan 10 karya berkaitan Ungku Aziz oleh 11 anggota akademik dan pegawai UM yang pernah bertugas di bawah kepimpinannya, termasuk Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid, Prof Emeritus Dr K.T Joseph dan Prof Dr Azizah Hamzah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UM Datuk Dr Ghauth Jasmon. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan