Pilihan Raya PBT: Guan Eng Mohon Jumpa PM

Diterbitkan: Rabu, 17 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat permohonan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan keperluan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan perkara itu minggu depan.

Bagi tujuan tersebut Lim berkata satu surat permohonan telah dihantar kepada pejabat Perdana Menteri dan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Lim menjelaskan pilihan raya tersebut perlu diteruskan selaras dengan perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya selain daripada pilihan raya umum.

"Kami sedar Datuk Seri (Najib Tun Razak) mempunyai pandangan lain dan tidak bersetuju dengan pilihan raya PBT ini tetapi terbukti amalan demokrasi akar umbi membolehkan urustadbir yang lebih cekap, bertanggungjawab dan telus berbanding dengan sistem pelantikan.

"Amalan antarabangsa juga menunjukkan trend dengan 101 daripada 192 buah negara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengamalkan sistem pilihan raya PBT," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Katanya dengan cara ini juga boleh membuktikan keupayaan dan kredibiliti SPR dalam mengekalkan profesionalisme sebagai sebuah badan yang telus dan bebas.

Sebelum ini Perdana Menteri berkata pilihan raya PBT tidak perlu kerana ia hanya akan lebih mementingkan proses politiking di kalangan angggota PBT menerusi kempen dan pemilihan.

Pengerusi SPR pula telah berkata kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum perkara itu diputuskan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan