Pemuda UMNO Lantik Peguam Bela Wanita Malaysia Di Itali

Diterbitkan: Rabu, 17 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerana inginkan kehidupan lebih baik, dua orang wanita tempatan kini meringkuk dalam penjara di Itali setelah diperalat oleh satu sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah masuk ke negara itu.

Rasundiri a/p Ganapathi, 50, terbang ke negara itu pada Mei tahun lepas ditemani rakan baiknya Darina Ibrahim, 43, selepas termakan pujukan dua lelaki warga asing yang menjanjikan perniagaan jahitan beliau akan berkembang lebih maju, kata suaminya Mahinder Singh.

"Pada mulanya isteri saya memaklumkan beliau dan Darina akan terbang ke Bangkok kerana dua orang lelaki berkenaan memberitahu tekstil di Bangkok lebih berkualiti.

"Alangkah terkejutnya saya apabila menerima panggilan daripada pihak berkuasa Itali berhubung penangkapan isteri saya akibat didakwa menyeludup dadah dua minggu selepas dia meninggalkan rumah," kata Mahinder Singh pada sidang akhbar yang diatur Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini semalam.

Menceritakan kembali detik-detik yang memilukan itu, beliau berkata bahawa pada mulanya dua lelaki berkenaan sering ke rumahnya untuk menempah baju dari Rasundiri dan pada masa yang sama cuba memujuk isterinya itu.

Mahinder Singh berkata Rasundiri menjadi teruja selepas dua lelaki tersebut mendakwa perniagaannya boleh dikembangkan sekiranya membenarkan mereka melabur tetapi dengan syarat kesemua kain tekstil mesti dibeli di luar negara.

Rasundiri, yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil keputusan untuk menerima tawaran kedua-dua warga asing berkenaan dan tindakan itu akhirnya membawa padah dengan penangkapannya dan Darina di Itali.

"Tanpa disedari isteri saya, bagasi berisi tekstil yang dibawa mereka, rupa-rupanya berisi dadah jenis kokain yang telah disembunyi terlebih dahulu di ruangan rahsia oleh sindiket tersebut," kata Mahinder Singh.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, dua orang peguam dari Itali, dilantik oleh biro itu bagi proses pembelaan dua wanita Malaysia berkenaan.

"Peguam-peguam ini dilantik sebagai persediaan sebutan kes berkenaan oleh Mahkamah Itali nanti dan kita mahukan pembelaan yang terbaik bagi membuktikan mereka tidak bersalah," katanya.

Muhd Khairun turut menyeru agar mana-mana syarikat atau individu tampil menaja perbelanjaan agar keluarga kedua-dua wanita itu dapat bertemu dengan mereka.

Mahinder Singh dan suami kepada Darina, Jamalulhayat Vijaya Jeeva Yelumalai, yang turut menghadiri sidang akhbar itu bersama keluarga mereka ,hanya mampu menghubungi isteri mereka melalui panggilan telefon dan surat buat masa sekarang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan