Hak Bumiputera tidak Dihapus Dalam Model Ekonomi Baru - Nazri

Diterbitkan: Rabu, 17 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Model ekonomi baru (NEM) yang akan diperkenalkan tidak akan menghapuskan hak istimewa bumiputera tetapi akan memfokuskan kepada kerjasama dengan bukan bumiputera, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata antara bentuk kerjasama yang diharapkan adalah dalam aspek politik dan promosi dalam perniagaan.

"Kita mahu supaya ada kerjasama antara kedua-dua belah pihak yang bukan sahaja menguntungkan bumiputera, tetapi juga bukan bumiputera," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) di Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz mahu tahu tentang pengekalan istilah bumiputera dalam NEM yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan apakah langkah untuk mengelakkan timbulnya masalah antara kaum.

Nazri berkata status dan hak golongan bumiputera tidak akan diketepikan dalam NEM dan bagi memastikan perkara tersebut, setiap tindakan yang akan diambil haruslah berpaksikan kepada perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kita hanya nak tunjuk bahawa bumiputera dan bukan bumiputera boleh bekerjasama demi kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) tentang keperluan penyelarasan undang-undang dalam kriteria pengiktirafan sebagai bumiputera dengan kriteria yang digunapakai di negeri Sarawak misalnya, Nazri berkata perkara itu tidak perlu dilaksanakan.

Ini berikutan status bumiputera telahpun diselaraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiga kategori tersebut adalah Orang Melayu, "anak negeri" Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, katanya.

Nazri berkata Perlembagaan Persekutuan yang terpakai di seluruh negara dengan jelas menyebut kategori orang yang layak diiktiraf sebagai bumiputera dan perkara tersebut adalah muktamad. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan