Tuanku Mizan Sifatkan MEB Berpandangan Jauh

Diterbitkan: Isnin, 15 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa langkah kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju adalah satu langkah berpandangan jauh.

Seri Paduka bertitah model tersebut memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.

"Beta menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjayakan matlamat tersebut demi negara tercinta," titah baginda semasa merasmikan Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Baginda bertitah tumpuan akan terus diberi kepada bidang-bidang yang negara mempunyai kelebihan, berpotensi dan rantaian nilai tambah yang tinggi serta dapat menjana pulangan yang lebih besar.

"Ini termasuk sektor perkhidmatan terutamanya kewangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

"Pada masa yang sama, sektor-sektor lain seperti pembuatan, pertanian dan komoditi akan terus diberi keutamaan," titah baginda.

Oleh itu, Beta menyeru supaya inovasi menyeluruh dilaksanakan bagi mentransformasikan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam. Ini adalah selaras dengan peranannya sebagai pemudah cara kepada masyarakat perniagaan dan pelabur," titah baginda.

Sementara itu, baginda menyatakan rasa bangga dengan kepakaran Malaysia dalam perbankan Islam dan kedudukan Malaysia sebagai pusat sukuk terbesar dunia dengan menguasai lebih 60 peratus pasaran sukuk global.

"Pemulihan ekonomi global hendaklah digunakan sebagai peluang untuk menarik lebih banyak syarikat menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk menerbitkan sukuk, memandangkan Malaysia mempunyai prasarana dan persekitaran pasaran yang kondusif," titah baginda.

Baginda juga bertitah usaha kerajaan meliberalisasikan peraturan berkaitan sektor pembuatan dan perkhidmatan secara komprehensif dan garis panduan berkaitan pemilikan ekuiti asing, akan meningkatkan lagi proses pemindahan teknologi dan bina upaya tempatan selain langkah itu menggalakkan lagi pelaburan asing dan memperkukuhkan keupayaan serta daya saing industri tempatan.

Tuanku Mizan turut sukacita sektor pelancongan terus kekal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan sumber pendapatan pertukaran wang asing.

"Langkah-langkah akan terus dipertingkatkan untuk menggalakkan kedatangan pelancong yang berbelanja besar dan tinggal lebih lama dengan menggiatkan pembangunan produk-produk pelancongan yang berimpak tinggi," titah baginda.

Dalam usaha untuk memperkasa dan mentransformasikan sektor pertanian, baginda bertitah satu dasar baru berkaitan sektor agromakanan akan digubal yang akan meliputi usaha-usaha ke arah meningkatkan pengeluarkan makanan tempatan bagi menjamin bekalan makanan yang selamat dan mencukupi, meningkatkan produktiviti dan daya saing serta melibatkan penyertaan aktif pihak swasta.

Baginda bertitah kerajaan juga akan terus menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam sektor komoditi bagi menghasilkan teknologi dan inovasi yang boleh meningkatkan produktiviti sektor tersebut manakala penghasilan produk-produk baru bernilai tambah tinggi dan penerokaan pasaran baru turut diberikan penekanan.

"Kerajaan Beta juga akan memberikan tumpuan kepada pembangunan industri aeroangkasa dengan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebagai Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia," titah baginda.

Tuanku Mizan turut bertitah bahawa usaha kerajaan untuk beralih pantas kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan merancakkan aktiviti K-intensif memerlukan rangkaian infostruktur berkualiti tinggi.

"Sehubungan ini, Beta berharap sasaran penembusan jalur lebar kepada 50 peratus daripada isi rumah dan liputan selular kepada 97 peratus kawasan berpenduduk dapat dicapai pada akhir tahun ini," titah baginda. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan