Pemberian Subsidi Akan Distruktur Semula Titah Tuanku Mizan

Diterbitkan: Isnin, 15 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat bagi memastikan hanya yang layak sahaja menikmatinya.

Baginda bertitah pemberian subsidi bukan sahaja dinikmati oleh golongan sasar malah turut dikecapi mereka yang tidak layak seperti golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.

"Walau bagaimanapun, kumpulan sasar seperti kumpulan mudah miskin akan terus dibantu agar mereka tidak terbeban.

"Justeru, beta menyeru agar rakyat berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan ini," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga Persidangan Parlimen ke-12, di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu. Tuanku Mizan bertitah kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk pelbagai subsidi bagi meringankan beban rakyat.

"Pada tahun 2009 sahaja sebanyak RM24.5 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut," titah baginda.

Menyentuh perkara lain, Seri Paduka turut melahirkan rasa syukur kerana ekonomi negara kini semakin pulih daripada kesan kemelesetan ekonomi global yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat tahun 2009 mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.5 peratus, iaitu lebih baik daripada unjuran 3 peratus.

Baginda bertitah perkembangan yang menggalakkan ini antara lain adalah hasil daripada pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion serta disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh.

Tuanku Mizan bertitah kemelesetan ekonomi mempunyai hikmah tersendiri kerana ianya telah mendorong semua pihak berusaha menggunakan sepenuhnya sumber dan peluang yang ada untuk membawa negara keluar daripada situasi yang sukar itu.

"Beta sukacita dengan usaha kerajaan beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri yang telah menjadikannya satu peluang untuk mentransformasikan negara ke arah masa hadapan yang lebih baik," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan projek-projek pembangunan disiapkan mengikut jadual, berkualiti dan memberi pulangan setimpal dengan peruntukan yang dibelanjakan.

Sehubungan itu, baginda bertitah aspek pemantauan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan ianya mencergaskan aktiviti ekonomi negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Titah baginda lagi semua agensi kerajaan akan terus memberi penekanan kepada impak dan keberkesanan program serta projek berbanding mementingkan "output" semata-mata.

Selain itu, Tuanku Mizan bertitah dalam era persaingan global negara memerlukan modal insan yang berpengetahuan, kreatif, berintegriti, memiliki daya usaha yang kuat dan semangat keusahawanan yang tinggi bagi memastikan kejayaan negara pada masa depan. Sehubungan itu baginda menyambut baik usaha memperluaskan akses kepada pendidikan prasekolah, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi murid serta membangunkan sekolah berprestasi tinggi.

"Beta juga mengalu-alukan langkah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan menjadikan sekolah-sekolah tertentu sebagai anak angkat bagi mempertingkatkan pencapaian sekolah-sekolah tersebut," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh mengenai Program Permata Negara yang diilhamkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Baginda bertitah, berikutan kejayaannya kerajaan akan memperkasakan lagi program tersebut dengan memperkenalkan beberapa program baru seperti Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Permata Remaja.

"Program ini akan melahirkan generasi baru yang akan memacu negara ke masa hadapan yang lebih cemerlang," titah baginda.

Tuanku Mizan juga bertitah bahawa dasar baru pendidikan yang antara lain memartabatkan Bahasa Malaysia, memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris serta meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, akan memantapkan lagi sistem pendidikan negara.

Baginda juga berharap bakat dan potensi golongan belia akan digembleng dan mahu mereka mengubah cara berfikir serta bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan