Pelajar Miskin Dan Mangsa Bencana Layak Terima Wang Ihsan

Diterbitkan: Ahad, 14 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Mesyuarat pertama jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata di bawah kategori pelajar miskin, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan faktor kemiskinan.

"Turut mendapat faedah ialah pelajar yang benar-benar miskin di sekolah-sekolah rendah dan menengah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan akhbar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kepeada penerima di sini, hari ini.

Pada majlis itu KIST memperuntukan RM20,000 untuk mengagihkan empat naskah akhbar Berita Harian dan The New Strait Times setiap hari kepada sekolah-sekolah menengah yang terpilih di Kelantan selama setahun.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Kelantan untuk mendapatkan senarai pelajar yang benar-benar layak tanpa mengira fahaman politik dan agama.

Katanya bagi mereka yang ditimpa bencana pula seperti banjir, rumah rosak dilanda ribut, dan hangus dijilat api, mereka layak dipertimbangkan untuk mendapat bantuan daripada dana berkenaan.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dijangka akan menyampaikan bantuan kepada kumpulan pertama yang layak nanti dalam rangka lawatannya ke Kelantan pada 3 April ini.

Dr Awang Adek berkata antara mereka yang hadir pada mesyuarat pertama yang diadakan Khamis lepas di Kementerian Kewangan itu ialah dua pengawai dari kerajaan negeri yang bertindak sebagai pemerhati. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan