Pemuda BN Lancar Rali 1Malaysia, 17 April

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan hadir ke program Rali 1 Malaysia anjuran Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Negara pada 17 April ini.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, rali berbentuk rapat umum itu mempunyai pengisian promosi dan penghayatan konsep 1Malaysia.

Khairy menyasarkan seramai 10,000 orang hadir ke rali tersebut yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional, ahli parti politik dan sebagainya.

“Program ini diharapkan dapat membawa satu pendekatan politik yang berupa landasan tengah kepada semua pihak.

“Ia mewakili semua pihak, inklusif dan mendapat penerimaan daripada generasi muda tidak mengira bangsa, agama serta latar belakang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN dengan dihadiri semua ketua pemuda parti komponen parti.

Khairy berkata, susulan daripada pelancaran rali itu, pihaknya turut melancarkan projek Jelajah One Malaysia (JOM).

Jelas beliau, JOM adalah roadshow yang diadakan di seluruh negara bagi menyebarkan penghayatan 1Malaysia.

“Pemuda BN akan turun padang untuk membawa pendekatan politik baru iaitu 1Malaysia sama ada melalui program-program kemasyarakatan seperti gotong-royong, kejiranan, sukan dan sebagainya.

“Setiap parti komponen akan turun padang untuk membawa konsep tersebut,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan