Mustapa Luang Masa Tonton Kejohanan Badminton All-England

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BIRMINGHAM: Dalam kepadatan jadualnya untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan di Eropah, Datuk Seri Mustapa Mohamed sempat menyelitkan ruang masa di pinggir bandar London ini bagi memberikan sokongan moral kepada pasukan badminton negara yang bertanding di kejohanan berprestij All-England.

Pastinya kunjungan ke Arena Tertutup Birmingham itu berbaloi dan membuatkan Mustapa tersenyum puas kerana dapat menyaksikan kemaraan pemain perseorangan sensasi negara Datuk Lee Chong Wei ke peringkat separuh akhir All England.

Lee, yang merupakan pemain nombor satu dunia, menewaskan Shon Wan Ho dari Korea 14-21, 21-14 dan 21-14 dalam satu perlawanan yang sengit dan menarik.

Mustapa mengetuai hampir 50 orang delegasi Malaysia ke tiga negara Eropah -Belanda, Jerman dan United Kingdom - selama lapan hari bermula 6 Mac lalu. Selain Mustapa, beberapa delegasi perniagaan Malaysia turut serta menyaksikan perlawanan tersebut setelah berpenat lelah menemui bakal pelabur Eropah dalam usaha menarik pelaburan ke Malaysia.

Mereka turut serta dalam rombongan itu yang bermula di Amsterdam, kemudian singgah di Hamburg dan berakhir di tempat kejohanan badminton ini berlangsung.

Bagaimanapun, Mustapa berlepas ke London selepas menyaksikan pertandingan itu bagi memenuhi jadual yang disusun seawal 7 pagi esok, antaranya menghadiri Program Dapur Malaysia dan perjumpaan bersama Yayasan Khazanah, sebelum berlepas pulang pada hari sama.

Seperti bermain rali, Mustapa tidak mengenali erti penat apabila menghadiri pelbagai sesi dialog dan pertemuan di destinasi misi pelaburan.

"Kita harus bekerja lebih keras untuk menarik pelabur. Kita kini perlu bersaing dengan banyak negara yang kini dapat menawarkan kos yang lebih kompetitif," adalah ungkapan yang sering didengar apabila menyertai misi pelaburan bersama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan