Mohsin Fadzli Tidak Kosongkan Kerusi Parlimen Bagan Serai

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan walaupun ada pihak dalam pakatan pembangkang mendesaknya berbuat demikian.

Katanya beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya dan sebaliknya akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat bebas sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

Pada 3 Mac lalu, Mohsin Fadzli mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana 'politiking' melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi Anggota Parlimen mereka...tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai)," katanya. Mohsin Fadzli berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada UMNO dengan majoriti 3,413 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan