Hasim Rusdi Setiausaha Umno Negeri Sembilan Yang Baru - Berita Semasa | mStar

Hasim Rusdi Setiausaha Umno Negeri Sembilan Yang Baru

Diterbitkan: Sabtu, 13 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Ketua Umno Bahagian Rasah Datuk Hasim Rusdi dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang baru.

Hasim, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasan Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan berkata Hasim menggantikan Datuk Azman Hassan ekoran peletakan jawatan Azman kerana masalah kesihatan.

"Memang saya dah lantik Datuk Hasim bagi menggantikan Datuk Azman. Perlantikan Datuk Hasim dah lama dah tapi saya tak umumkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Sembilan kali ke-17 di sini. Mohamad juga berkata beliau turut melantik ADUN Bagan Pinang yang juga bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang baru.

Katanya Mohd Isa menggantikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang meletak jawatan kerana kesibukan tugas di kementeriannya.

Sementara itu, Hasim yang dihubungi berkata beliau menerima surat perlantikan itu Khamis lepas.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan dan akan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan parti dan rakyat," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan