Isu Sekolah Menumpang Diberi Keutamaan Dalam RMK10 - Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 12 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pembinaan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah menumpang di bangunan sekolah lain, yang dikatakan menganggu proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) akibat kesesakan, akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sepatutnya tidak harus ada sekolah yang menumpang dan ketika ini di Sabah sahaja sebanyak 27 buah sekolah menengah dikenal pasti sedang menumpang di sekolah rendah.

"Sepatutnya tidak harus ada sekolah menumpang. Saya malu jadi Menteri Pelajaran waktu mana anak-anak kita terpaksa menumpang... bukan menumpang di Sekolah Menengah, tapi yang menengah menumpang di sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama warga pendidikan di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, di sini hari ini. Beliau berkata masalah itu turut berlaku di Semenanjung dengan sebahagian besarnya di kawasan-kawasan maju disebabkan oleh proses urbanisasi yang mengakibatkan jumlah penduduk tumbuh dengan pesat.

"Kadang-kadang agak susah nak ramalkan berapa jumlah penduduk tinggal di situ... tapi bila dah timbul hal begitu kita (kerajaan) tak boleh biarkan berlarutan," katanya.

Muhyiddin berkata bagi Sabah, kerajaan akan mengenal pasti yang mana yang paling akut untuk diatasi segera dan antara langkah sementara adalah menyediakan kabin atau bilik darjah sementara.

Beliau berkata ini kerana pembinaan sebuah sekolah baru memerlukan kos kira-kira RM50 juta yang tentunya akan menelan kos bilion ringgit untuk mengatasi sepenuhnya masalah itu yang memerlukan kajian terperinci.

"Jadi kita akan beri keutamaan yang menganggu proses P&P... laporan dari peringkat (Jabatan) Pelajaran negeri kita akan ambil perhatian," katanya.

Isu sekolah menumpang itu diketengahkan semasa sesi dialog oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pitas Halim Bidin yang meminta kerajaan memberi perhatian bagi pembinaan bangunan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah yang terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain yang menurutnya menjejaskan proses P&P.

Beliau memberikan contoh dua sekolah sedemikian di kawasan Pitas iaitu SMK Kanibongan dan SMK Bongkol serta SMK Bandau SMK Langkon dan SMK Simpang di Beluran.

Sementara itu ketika ditemui pemberita kemudiannya, Pengarah Pelajaran Sabah Dr. Muhiddin Yusin berkata masalah sekolah menengah yang menumpang di Sabah kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.

Beliau berkata sekolah berkenaan mendapat kelulusan untuk dibuka tetapi terpaksa menumpang di sekolah rendah kerana bangunan belum dapat dibina.

"Sekolah-sekolah ini sudah dilulus tapi belum ada peruntukan (untuk bina bangunan sekolah), jadi kita gunakan apa yang ada," katanya dan menurutnya terdapat juga sebilangan kecil sekolah rendah yang menumpang di sekolah menengah.

Beliau menjelaskan jabatan itu telah mencadangkan projek pembinaan sekolah baru itu sejak dalam RMK-8 lagi dan kemudiannya dalam RMK-9 tetapi oleh kerana peruntukan tidak cukup, kini dimasukkan dalam RMK-10.

Mengenai jumlah pelajar sekolah terbabit, beliau berkata sebuah sekolah mempunyai purata 200 sehingga 400 pelajar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan