Fail Cerai: Pihak Ketiga Tidak Dibenarkan

Diterbitkan: Jumaat, 12 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pihak ketiga tidak dibenarkan untuk menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut berdasarkan hukum syarak dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Namun menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abdul Ralip, dari segi prosedur, pendaftaran dan permohonan pengesahan cerai adalah sah jika difailkan oleh pihak ketiga.

Mohd Isa berkata, hukum syarak telah menetapkan hanya suami atau isteri sahaja yang boleh menfaikan tuntutan tersebut bagi memudahkan proses seterusnya.

"Walaupun dari segi prosedur ia sah, tetapi akan menimbulkan masalah semasa prosiding mahkamah.

"Ini kerana pihak yang menfailkan tuntutan tersebut perlu bersumpah kepada hakim mengenai tuntutan yang dibuat," katanya ketika bercakap kepada mStar online di sini hari ini.

Katanya lagi, dalam kes pihak ketiga menfailkan permohonan, adalah menjadi masalah apabila pihak tersebut perlu membuat pengakuan sumpah terhadap permohonan yang dibuat.

"Bagaimana pihak ketiga ini nak bersumpah jika individu tersebut tidak ada kena mengenai dengan pasangan tersebut.

"Apa bukti yang boleh dikemukan oleh pihak ketiga untuk mengesahkan telah mendengar lafaz cerai tersebut?," ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes pengesahan cerai Sultan Kelantan, Tunku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad, Mohd Isa berkata peguam yang mewakili isteri kedua boleh membuat bantahan di mahkamah berhubung perkara tersebut.

"Seperti yang telah dinyatakan dalam akhbar hari ini, permohonan tersebut sah dari segi prosedur, namun peguam yang mewakili Cik Puan Elia Suhana boleh membuat bantahan terhadap permohonan itu di mahkamah," katanya sambil enggan mengulas lanjut mengenai kes yang melibatkan Sultan Kelantan itu.

Akhbar hari ini melaporkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul rahman, 60.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty ketika mengulas mengenai permohonan lafaz cerai itu.

Semalam akhbar melaporkan, peguam syarie, Zainul Rijal mengeluarkan kenyataan media kepada Bernama mengesahkan pihaknya telah menfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam laporan tersebut, Zainul Rijal berkata, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya menfailkan permohonan pengesahan cerai tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan