VINCENT TAN DALAM SENARAI BILIONAIR FORBES

Diterbitkan: Khamis, 11 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, menjadi hartawan Malaysia terbaru dimasukkan dalam senarai bilionair dunia 2010 Majalah Forbes - sebuah majalah bisnes terkemuka dunia.

Kemasukan baru hartawan itu, yang bernilai AS$1.2 bilion dan menduduki tempat ke-828, menyertai lapan rakyat Malaysia lain yang berada dalam senarai 1,011 bilionair global yang diumumkan oleh Forbes hari ini.

Hartawan Malaysia yang lain termasuklah raja gula Robert Kuok yang menduduki tempat ke-33 dengan kekayaan bernilai AS$14.5 bilion, diikuti oleh usahawan ulung Ananda Krishnan (tempat ke-89)(AS$7.6 bilion), Pengerusi IOI Corporation Tan Sri Lee Shin Cheng (ke-189) (AS$4.4 bilion), Pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow (ke-277)(AS$3.4 bilion), Pengerusi Kumpulan Hong Leong Tan Sri Quek Leng Chan (ke-277) (AS$3.4 bilion), Pengerusi YTL Corporation Yeoh Tiong Lay dan keluarga (ke-421) (AS$2.3 bilion), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (ke-655) (AS$1.5 bilion) dan Pengerusi Kumpulan Rimbunan Hijau Tiong Hiew King (ke-937) (AS$1.0 bilion).

Forbes berkata, bilangan tikun dari rantau Asia Paasifik dengan kekayaan bernilai sepuluh angka meningkat kepada 234 daripada 130 tahun lepas.

Daripada jumlah ini, 62 merupakan bilionair kali pertama dari kalangan 97 bilionair baharu di dunia.

Ini merupakan 23 peratus daripada 1,011 bilionair dalam senarai global itu berbanding 16 peratus daripada 793 bilionair tahun sebelumnya.

Kekayaan tergabung bilionair Asia juga meningkat lebih sekali ganda kepada AS$729 bilion daripada $357 bilion setahun lalu.

Kadar peningkatan ini jauh mengatasi tikun Eropah yang menyaksikan kekayaan tergabung mereka meningkat sebanyak 50 peratus manakala tikun AS hanya menikmati peningkatan sebanyak 18 peratus.

Di kalangan ekonomi Asia, China terus mengungguli senarai dengan peningkatan lebih dua kali ganda bilangan bilionair kepada 64 daripada 28 tahun lepas, diikuti oleh India dengan peningkatan kepada 49 daripada 24 sebelumnya.

Di tempat ketiga ialah Hong Kong dengan 25 bilionair, diikuti oleh Jepun dengan 22 bilionair, Taiwan 18, serta Australia dan Korea Selatan, masing-masing dengan 11 bilionair.

Tujuh daripada bilionair ini adalah dari Indonesia, lima dari Kazakhstan, empat dari Singapura, masing-masing tiga dari New Zealand dan Thailand, dua dari Filipina, dan satu dari Pakistan.

Orang terkaya di Asia Pasifik dan yang keempat terkaya di dunia ialah Mukesh Ambani, pengerusi Reliance Industries dari India.

Orang terkaya di dunia ialah usahawan telekomunikasi Mexico, Carlos Slim Helu dan keluarga.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan