Semua IPD Akan Dilengkapi CCTV - Berita Semasa | mStar

Semua IPD Akan Dilengkapi CCTV

Diterbitkan: Khamis, 11 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Polis akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi mengelakkan dakwaan mereka menggunakan kekerasan semasa menjalankan tanggungjawab.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, untuk fasa pertama pemasangan CCTV dilakukan di semua IPD di empat buah negeri yang disifatkan mencatatkan kadar jenayah yang tinggi.

Fasa pertama ini telah siap meliputi IPD di Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum mengenai jenayah dan tugas polis di Malaysia, di sini hari ini.

"Pemasangan CCTV ini dibuat di bilik soal siasat dan tempat strategik lain. Langkah ini bagi mengelakkan tanggapan umum bahawa polis menggunakan kekerasan semasa menjalankan tugas," katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Mohd Bakri berkata, jabatan itu memerlukan lebih ramai pegawai penyiasat bagi memenuhi tuntutan masyarakat.

"Kami memerlukan 304 pegawai penyiasat kanan, 908 pegawai penyiasat dan 2,842 timbalan pegawai penyiasat untuk ditempatkan di semua balai polis bagi menampung beban tugas yang meningkat," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini hanya terdapat 119 pegawai penyiasat kanan, 361 pegawai penyiasat dan 965 timbalan pegawai penyiasat di seluruh negara.

Mohd Bakri berkata, pertambahan beban tugas ke atas pegawai sedia ada boleh menjejaskan kualiti siasatan yang amat penting untuk tujuan pendakwaan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan