UDA Tutup Puduraya 4 Bulan Untuk Kerja Naik Taraf

Diterbitkan: Rabu, 10 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hentian bas Puduraya di sini akan ditutup selama empat bulan bermula 19 Mac ini untuk kerja naik taraf.

Pengarah Urusan UDA Holdings Bhd, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, kerja menaik taraf itu diambil bagi menangani isu ketidakselesaan pengguna, kekurangan kemudahan dan kesesakan lalu lintas sekitar hentian.

"Penutupan juga terpaksa dibuat atas aspek keselamatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jaafar berkata, penambahbaikan itu merangkumi tiga peringkat iaitu pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, keseluruhan kerja menaiktaraf dan menambaik Puduraya setakat ini adalah 22 peratus dengan keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Jaafar berkata, penambahbaikan fasa pertama melibatkan ruang menunggu yang baru di tingkat satu dan laluan dari LRT Plaza Rakyat yang melibatkan kos RM4.5 juta telah siap sebelum sambutan Aidilfitri tahun lepas.

Menurut Jaafar, proses naik taraf yang sedang berjalan ketika ini melibatkan lif, kaunter tiket yang baru di tingkat satu, sistem siaraya, menyediakan medan selera di bumbung dan sistem kipas ekzos di tingkat bawah.

"Secara keseluruhan proses naik taraf fasa kedua yang menelan belanja RM32 juta itu telah 15 peratus siap dan yakin boleh mencapai 70 peratus menjelang Julai depan," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan terminal yang menelan kos keseluruhan kira-kira RM52 juta itu akan diteruskan dengan fasa ketiga yang melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal termasuk menaik taraf ruang menunggu di tingkat bawah dan tingkat mezanine, penambahan 10 unit eskalator baru, penambahan lif penumpang dan kargo serta penambahbaikan keseluruhan di tingkat bawah tanah.

Katanya, UDA sebagai pemilik hentian Puduraya berharap terminal itu dapat beroperasi sepenuhnya pada sambutan Aidilfitri September depan walaupun jangkaan siap projek itu adalah akhir tahun ini.

"Diharap semua pengguna dapat bersabar sementara menunggu proses penambahbaikan selesai kerana apabila siap kelak hentian Puduraya akan berubah wajah dan pengguna akan merasai suasana yang lebih selesa dari sekarang," katanya.

Jaafar berkata, berikutan penutupan Puduraya, pengguna bas ekspres untuk destinasi ke selatan akan menggunakan depoh sementara di Jalan Hang Tuah berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk menaiki bas, manakala Hentian Duta pula digunakan bagi menempatkan bas-bas ekspres bagi perjalanan ke utara negara.

Beliau berkata, sebanyak 90 buah bas ekspres yang masih beroperasi di Puduraya telah bersetuju untuk berpindah ke depoh yang disediakan dan pihaknya telah menyediakan sebanyak 120 petak untuk bas menunggu di samping kemudahan ruang menunggu, ruang perniagaan, surau dan tandas.

Jaafar berkata, untuk kemudahan orang ramai, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan bas perantara dari Puduraya untuk ke depoh Jalan Hang Tuah dan Hentian Duta dengan dikenakan tambang RM2.

Beliau turut mengakui depoh baru tersebut yang dibina dengan kos hampir RM1.1 juta itu mungkin ada kekurangan berbanding keselesaan yang pernah dinikmati semasa menggunakan hentian Puduraya.

Sehubungan itu Jaafar berkata, UDA telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menilai setiap teguran dan kritikan bagi memastikan setiap rungutan penumpang dapat diatasi sepanjang empat bulan depoh itu digunakan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan