Shahrizat Minta Perkahwinan Libatkan Kanak-Kanak Disiasat

Diterbitkan: Selasa, 9 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini meminta pihak yang bertanggungjawab dalam soal nikah kahwin di Kelantan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejadian itu menyalahi Enakmen Keluarga Islam Kelantan memandangkan tiada kebenaran daripada mahkamah syariah.

"Berdasarkan Enakmen Keluarga Islam Kelantan had umur minimum perkahwinan adalah 16 tahun bagi kaum wanita kecuali dengan kebenaran mahkamah syariah. Kalau nak ikut mazhab ia tidak melanggar, tetapi kita ada enakmen syariah.

"Tujuan enakmen ini adalah untuk menentukan tiada paksaan di dalam perkahwinan. Jadi kita tidak tahu sama ada kanak-kanak ini dipaksa oleh ibu bapa mereka atau tidak.

"Sebab itu mahkamah perlu siasat," katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar 'Paving The Way Forward For Equal Opportunities in High Level Decision Making Positions' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Kes itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di bawah umur di negeri itu, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan