Orang Melayu Bandar Perlu Kuasai Bahasa Mandarin - Rais

Diterbitkan: Isnin, 8 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata orang Melayu khususnya di bandar perlu mengusai bahasa Mandarin bagi menjadikan mereka pemimpin yang lebih berkesan dan berketerampilan.

Rais yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, perjuangan di bandar adalah kompetitif dan kebolehan berbahasa Mandarin akan menambah nilai perjuangan orang Melayu pada masa depan.

"Selain bahasa Inggeris, saya berpandangan orang Melayu akan lebih berketerampilan dan lebih tersedia untuk memimpin secara berkesan apabila bahasa ini (Mandarin) dijadikan sebahagian bahasa komersil.

"Perjuangan di bandar perlu ditambah nilainya dan tidak boleh dibiarkan seperti yang ada sekarang. Kalau di kampung kita tak perlu gigih berbahasa Mandarin atau mencari nilai-nilai lain, tetapi di bandar kita harus kompetitif," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat peringkat Parlimen Bukit Bintang di Pusat Khidmat Masyarakat parlimen itu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan, Ketua Umno bahagian Bukit Bintang Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan Pengerusi MCA bahagian Bukit Bintang Datuk Lee Chong Meng.

Rais berkata orang Melayu harus menimbulkan semangat untuk berkomunikasi dalam bahasa lain dan tidak perlu merasa rendah diri kerana peradaban dunia ketika ini membuktikan penguasaan pelbagai bahasa akan meningkatkan keterampilan seseorang dan orang ramai seharusnya bergerak ke arah itu.

Beliau berkata memperolehi kebolehan dalam berbahasa Mandarin juga akan menokok nilai perjuangan di bandar, jadi tidak rugi sekiranya bersungguh-sungguh secara sedar mempelajari bahasa itu.

Ditanya apakah saranan menguasai bahasa Mandarin sebagai sebahagian daripada kaedah Umno dan Barisan Nasional untuk mengusai kawasan bandar Rais berkata:"Jangka panjangnya memang begitu sebab sebagaimana kita maklum seseorang yang boeh berkomunikasi dalam bahasa orang sebelahnya, maka pengaruhnya lebih.

Beliau berkata saranan itu tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang lucu kerana secara praktikal masyarakat yang mengusai pelbagai bahasa, mereka akan lebih berjaya dalam perjuangan.

"Bukan saya katakan kita perlu melupakan bahasa dan budaya kita, tidak... malah di bawah fasa tiga perlembagaan persekutuan, kebudayaan Melayu itu pokok kepada kita, tetapi menokok nilai budaya adalah sesuatu yang baik supaya perjuangan kita menjadi lebih lengkap," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 15 buah komputer termasuk lima sumbangannya kepada 13 sekolah di dalam kawasan Parlimen Bukit Bintang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan