Orang Asli Semakin Mementingkan Pendidikan

Diterbitkan: Isnin, 8 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar, Kuala Betis dekat sini semakin mengutamakan pendidikan bagi generasi muda mereka demi menjamin kelangsungan masyarakat mereka dan melahirkan generasi berpengetahuan.

Pendidikan kini dilihat sebagai laluan utama untuk mengekalkan identiti kaum mereka dalam meniti arus pembangunan negara yang kian pesat.

Seorang penduduk Orang Asli di Pos Balar, Abdullah Seman, 56, berkata pendidikan menjadi kunci untuk anak-anaknya terus mencari kehidupan yang lebih bermakna dengan punca rezeki yang lebih baik.

"Dahulu tidak ramai yang utamakan pendidikan. Bagi kami buat apa belajar sedangkan boleh hidup dengan cara tradisional.

"Tetapi pendapatan kerja kampung tidak lagi mencukupi untuk generasi baru. Lambat-laun punca hidup akan hilang bersama identiti kami. Jadi pendidikan adalah jalan keluar untuk generasi muda mencari rezeki," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun dugaan yang dihadapi anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah menjadikan hasrat Abdullah sedikit sukar.

Beliau berkata anaknya yang bersekolah menengah terpaksa tinggal di asrama di Gua Musang yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kampungnya.

"Sekolah rendah sudah ada di sini tetapi sekolah menengah semuanya jauh-jauh. Kami bukan berkemampuan untuk jumpa anak kami di sana. Tetapi demi masa depan mereka apa yang boleh kami buat," katanya.

Osman Abas, 43, berkata keperluan sekolah semakin meningkat dan pendidikan peringkat tinggi di kawasan petempatan Orang Asli semakin diperlukan.

"Kami pun mahu anak kami maju. Kerajaan banyak tolong kami dengan memberi petempatan di sini. Mereka juga sediakan sekolah. Tetapi sekarang kami perlukan sekolah menengah yang lebih dekat seperti di pekan Kuala Betis," katanya.

Kuala Betis terkenal sebagai petempatan Orang Asli Temiar yang terbesar di negeri Kelantan.

Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang yang terkenal bagi aktiviti pelancongan kerana adanya Gua Cha, yang merupakan antara petempatan awal manusia pada zaman Mesolitik.

Kuala Betis kini menikmati arus pemodenan dan orang Asli tidak lagi terpinggir kerana mereka disediakan kemudahan perumahan, sekolah, dewan masyarakat dan sebagainya.

Hasrat Abdullah dan Osman tidak sia-sia kerana Kementerian Pelajaran menerima baik permintaan mereka supaya sebuah sekolah menengah dibina di Kuala Betis.

Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zarkashi, dalam lawatannya ke Kuala Betis pada 8 Feb, berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat kementerian supaya projek terbabit disertakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Apapun kita rasa bangga dengan minat kaum Orang Asli sejak kebelakangan ini untuk menghantar anak ke sekolah hingga mencadangkan kepada kerajaan membina sebuah sekolah menengah di Kampung Kuala Betis.

"Nampaknya fikiran mereka sudah banyak berubah dan kita juga dimaklumkan pelajar anak Orang Asli di Kelantan terus bertambah setiap tahun hingga memerlukan pertambahan bilik darjah," kata Dr Mohd Puad.

Keputusan Dr Mohd Puad itu memberikan ketenangan kepada Abdullah dan Osman kerana sudah lama mereka dan 600 lagi anggota masyarakat di Pos Balar menanti pembinaan sekolah itu yang jauh lebih dekat dari Gua Musang.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) Zahari Daud berkata beliau berbangga kerana berdasarkan laporan, pelajar anak Orang Asli semakin berminat datang ke sekolah, dan tidak lagi pulang ke rumah semasa sesi belajar berbanding sebelum ini.

Beliau berkata perubahan ini menunjukkan bahawa minda mereka sudah terbuka dan minat untuk belajar sebagai persediaan untuk menempuh masa depan yang mencabar.

"Soal guru, saya rasa tidak timbul masalah lagi kerana kita sudah hantar dengan cukup khususnya membabitkan sekolah di pedalaman termasuk guru bagi subjek bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata guru yang dihantar itu diberi elaun khas berdasar cabaran perjalanan mereka dan banyak lagi keperluan lain yang sudah dipertimbang bagi kelayakan itu.

Selaras dengan itu, JPNKmenubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau kemajuan dan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar anak Orang Asli khususnya membabitkan semua sekolah di perkampungan kaum itu di pedalaman Hulu Kelantan.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pelajaran Daerah termasuk Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai akan merancang program terbaik untuk kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli sama ada di sekolah kebangsaan atau menengah.

"Seboleh-bolehnya ada dalam kalangan mereka memperoleh kejayaan cemerlang termasuk dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Pertimbangan kerajaan persekutuan bukan setakat pendidikan malah menjangkau pelbagai aspek termasuk peruntukan RM41.4 juta pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Datuk Mohd Sani Mistam berkata peruntukan bagi melengkap perkampungan Orang Asli seluruh negara dengan pelbagai kemudahan asas dan memberi keselesaan hidup mereka adalah termasuk membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) agar mereka tinggal tetap di perkampungan yang disediakan kerajaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan