Nilai Dialog Dalam Selesaikan Konflik Dan Keputusan Harian

Diterbitkan: Ahad, 7 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata nilai dialog dalam menyelesaikan sesuatu konflik bukan hanya terpakai dalam situasi konflik ketenteraan tetapi juga dalam membuat keputusan harian.

Beliau berkata jika rakyat Malaysia sedia untuk mendengar, berbincang dan menjadi analitis dan saksama dalam membuat keputusan dan kompromi, serta tidak tunduk kepada keputusan yang sering kali tidak rasional dan bersifat jangka pendek yang dipengaruhi perasaan marah; maka jalan penyelesaian yang lebih baik dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan.

"Saya pasti ramai antara anda akan mengaitkan tentang betapa pentingnya nilai ini (dialog) dalam peristiwa-peristiwa kebelakangan ini sama ada di dalam mahupun di luar negara," katanya di dalam blog beliau www.1malaysia.com.my hari ini.

Katanya peristiwa konfrontasi antara kumpulan penyeleweng Islam, Al-Maunah dan Angkatan Tentera Malaysia di Sauk, Perak pada Julai 2000 menjadi ingatan kepadanya betapa penting berdialog dalam menyelesaikan konflik.

"Keganasan dan sifat agresif mungkin dilihat sebagai pilihan paling mudah dan pantas, namun akibatnya hampir selalunya lebih mahal (berbanding) jika kita memilih jalan perundingan," katanya.

Dalam kejadian itu, yang pada ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan; seorang pegawai penyiasat polis, R. Sagadeva, dan seorang komando dari pasukan elit, Mathew anak Medan, terbunuh ketika bertugas.

Semasa lawatan Najib ke Sarawak bulan lepas, beliau mengambil kesempatan untuk mengadakan pertemuan singkat dengan pasangan warga emas Iban, Medan anak Nunying dan isterinya Landun anak Ngumbang yang tinggal di Rumah Meruan, iaitu ibu dan ayah kepada mendiang Mathew.

"Apa yang menghubungkan saya dengan pasangan yang berumur ini merupakan persitiwa paling mencemaskan dan berbahaya dalam kerjaya saya sepanjang 14 tahun menjadi Menteri Pertahanan," katanya.

Menyingkap kembali kejadian itu, Najib berkata beliau dinasihati oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan pegawai-pegawai kanan tentera supaya tidak berada di barisan hadapan pasukan tentera sepanjang konfrontasi itu.

"Walaupun begitu, saya tetap berada tidak jauh daripada kawasan konflik. Sungguhpun bukanlah menjadi amalan bagi menteri mengambil alih perintah sebenar daripada tentera, disebabkan keadaan konfrontasi itu terlalu bersifat politik, saya dirujuk untuk membuat tekanan terakhir bagi meneutralkan kumpulan ini.

"Kita kehilangan dua anggota yang berani, akan wujud kesan yang sangat merumitkan jika kita kehilangan lebih ramai anggota lagi. Bagi mengecilkan bilangan yang terkorban atau cedera, arahan saya adalah tunggu sehingga ke saat terakhir dan serangan hanya dilakukan sekiranya rundingan gagal.

"Alhamdulillah, saat peristiwa itu berakhir, kita tidak kehilangan satu nyawa pun dan berjaya menangkap kumpulan tersebut bersama-sama pemimpinnya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan