Barisan Pemimpin MCA Perlu profesional Dan Sedia Berkhidmat

Diterbitkan: Ahad, 7 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim kini menimbang untuk sekali lagi bertanding jawatan timbalan presiden parti itu selepas tewas pada pemilihan parti 2008.

Lim berkata beliau kecewa dengan pepecahan yang berlaku dalam parti yang kini dilanda krisis itu.

Jika keadaan itu berterusan, ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini kerana MCA memainkan peranan penting dalam Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum akan datang, katanya kepada Bernama ketika ditemui pada mesyuarat agung tahunan ke-56 parti yang hanya dihadiri kira-kira suku daripada jumlah keseluruhan perwakilan di Wisma MCA di sini hari ini.

"Adalah penting pada pemilihan 28 Mac ini, kita berharap untuk melihat pemimpin yang lebih baik dipilih oleh perwakilan, kita harap lebih ramai dari golongan profesional, yang berpendidikan, yang sedia berkhidmat tampil mengambil bahagian dalam semua jawatan pada pemilihan itu.

"Selepas dua tahun dilanda krisis sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, MCA berhadapan dengan krisis kepimpinan yang berterusan dimana pihak-pihak bertelagah mempunyai pendapat berbeza yang membawa kepada ketidakstabilan politik di negara ini," kata Lim.

Lim berkata adalah perkara biasa bagi beliau untuk bertanding jawatan nombor dua itu dan ia tidak sepatutnya mengejutkan perwakilan walaupun sebelum ini beliau tidak mendapat sokongan yang cukup.

"Saya berhasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden tetapi saya belum membuat keputusan muktamad kerana saya perlu melihat calon lain yang akan bertanding," katanya.

Lim mendapat jumlah undi kedua paling sedikit dengan 209 undi dalam pertandingan empat penjuru yang menyaksikan Dr Chua memperoleh undi paling tinggi dengan 1,115 undi.

Pencalonan untuk pemilihan baru parti ialah pada 22 Mac. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan