Pengimportan Ikan Bersambung Semula, Bekalan Pulih

Diterbitkan: Khamis, 4 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengimpotan ikan dari Thailand dan Indonesia bersambung semula selepas dua hari berikutan persatuan pengimport dan pemborong ikan menarik balik tindakan boikot mereka berhubung penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG).

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini kembali menerima kemasukan ikan import dari kedua-dua negara itu.

"Keadaan kembali pulih seperti biasa. Kita mendapat maklumat bahawa mereka menyambung operasi membawa masuk bekalan ikan dari Indonesia dan Thailand melalui pengangkutan darat dan laut sejak semalam. Ini tentunya melegakan hati pembeli," kata Timbalan Ketua Pengarah LKIM Mohad Khazin Hamzah ketika dihubungi di sini semalam.

Sejumlah 10 lori dengan 3,500 kotak ikan masuk melalui Bukit Kayu Hitam, 200 kotak melalui Kuala Perlis, 50 kotak melalui Kuala Linggi manakala negeri Kelantan menerima 2,000 kotak.

Isu penguatkuasaan secara berperingkat penggunaan KIBFG yang lebih mahal oleh pengimport dan pemborong ikan yang diwajibkan kerajaan selesai semalam selepas perjumpaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dengan ahli Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia di Putrajaya semalam.

LKIM mewajibkan penggunaan kotak ikan berkenaan kerana dikatakan dapat memastikan kualiti ikan yang dibawa masuk ke negara ini lebih selamat, bersih dan segar sejajar dengan pembaharuan dalam industri perikanan pada masa sekarang.

Pada masa ini kira-kira 30 peratus daripada ikan yang dipasarkan di sini adalah ikan import dan daripada jumlah itu 80 peratus adalah dari Thailand manakala bakinya dari Indonesia.

Di ALOR SETAR, gabungan 35 pengimpot ikan terbesar di negara kembali membawa masuk ikan dari Thailand dan Indonesia.

Bekalan ikan di beberapa pasar borong yang kekurangan bekalan dijangka pulih sepenuhnya dalam masa dua atau tiga hari lagi, kata Datuk Yusoff Ismail, pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia.

"Mulai hari ini kami membawa masuk semula ikan dari Thailand dan Indonesia. Pengguna terutama di bandar-bandar besar tidak lagi perlu bimbang," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar.

Persetujuan dicapai pada perjumpaan dengan menteri dengan syarat antaranya tender KIBFG dibuat secara terbuka dan tidak diberi hak secara monopoli kepada syarikat KF Marketing Sdn Bhd sahaja, kata Yusoff.

Beliau berkata pihaknya memerlukan kira-kira 300,000 unit KIBFG di Bukit Kayu Hitam sedangkan LKIM membekalkan 15,000 unit sahaja.

Yusoff berkata tindakan untuk menghentikan pengimpotan ikan itu bukan boikot tetapi disebabkan mereka khuatir penggunaan kotak plastik yang diamalkan sebelum ini akan menyebabkan ikan-ikan yang dibawa masuk ditahan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Di KUANTAN, harga dan bekalan ikan masih berada pada paras biasa dengan ikan selar masih dijual pada harga RM10 sekilogram, lolong (RM6), kerisi (RM10) dan cermin (RM18).

Seorang peniaga ikan di Pasar Tanjung Api di sini, Abdullah Mamat, 56, berkata, dia tidak mempunyai masalah dalam mendapatkan bekalan ikan untuk jualan harian.

"Saya ambil 200 kilogram sehari di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, tidak ada masalah walaupun ada yang memboikot bekalan ikan semalam," katanya.

Di IPOH, ramai peniaga masih tidak mendapat bekalan baru dan terpaksa menjual ikan yang sudah lama untuk mengelak daripada kehilangan pelanggan tetap.

"Untuk tidak menghampakan pelanggan, kami terpaksa menjual ikan yang sudah lama disimpan walaupun keadaannya sudah tidak segar seperti ikan biasa.

"Walaupun pada awalnya kami enggan berbuat demikian namun terpaksa akur kepada kehendak pembeli yang memerlukan bekalan ikan untuk kegunaan harisan masing-masing," kata peniaga ikan Mohd Zaini Mohd Yatim.

Seorang lagi peniaga Yen Yew Meng berkata ada di kalangan pelanggan yang merungut.

Di KOTA BAHARU, tinjauan Bernama di Pasar Besar Siti Khadijah di bandar ini mendapati tidak semua gerai ikan di pasar itu menjalankan perniagaan hari ini selepas tidak berniaga semalam.

"Boleh dikatakan operasi perniagaan ikan basah di pasar Siti Khadijah hari ini pulih seperti biasa, walaupun tidak banyak ikan yang dijual di sini," kata seorang peniaga ikan basah yang menjalankan perniagaan di pasar sejak 30 tahun lepas, Mek Jah Jusoh, 60.

Bagaimanapun, katanya, harga kebanyakan ikan hari ini agak mahal berbanding sebelum ini seperti ikan selayang dijual dengan harga RM5 sekilogram berbanding RM3 atau RM4 sekilogram dua hari lepas.

Di KUALA TERENGGANU, didapati bekalan ikan di pasar utama seperti Pasar Payang dan Pasar Cabang Tiga adalah banyak tetapi pembeli pula yang kurang.

Peniaga ikan di Pasar Cabang Tiga, Jusoh Musa berkata harga ikan tempatan tidak banyak berbeza hari ini berbanding minggu lepas dengan ikan kembung dijual antara RM7 dan RM8 sekilo, ikan selar RM7, ikan kerisi RM10, tenggiri RM20 manakala ikan tongkol pula turun RM1 kepada RM6 sekilo.

Jusoh berkata ikan tempatan berkurangan sedikit sebab bulan cerah dan nelayan tidak ramai keluar ke laut.

Di KANGAR, para peniaga ikan dan pengusaha kedai makan lega dengan tindakan segera oleh kerajaan menyelesaikan masalah itu walaupun mereka mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan.

Seorang peniaga di Pasar Besar Kangar, Adnan Ahmad, 30, berkata walaupun ada khabar angin bahawa harga ikan akan meningkat namun para peniaga di pasar itu tetap menjualnya dengan harga yang sama seperti sebelum ini.

Di JOHOR BAHARU, Seorang peniaga di Pasar Awam Larkin, Sabarudin Saim, 42, berkata kenaikan harga ikan tidak berlaku kerana para peniaga tidak terlalu bergantung kepada pengimport memandangkan bekalan ikan boleh didapati dari sekitar Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

"Kalau 10 tong ikan dihantar hanya dua tong sahaja yang merupakan ikan import," katanya yang bersetuju dengan penggunaan kotak berinsulasi kerana tong-tong dahulu sudah tidak sesuai digunakan lagi ketika ini. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan